suria

Pembunuh Pakar Bedah Sydney Mungkin Dihantar Pulang Ke Malaysia

MELBOURNE: Seorang rakyat Malaysia, yang menembak mati pakar bedah jantung Sydney Dr Victor Chang, besar kemungkinan akan dibebaskan daripada penjara beberapa bulan lagi.

Australian Associated Press melaporkan, Pihak Berkuasa Parol Negeri New South Wales, yang bermesyuarat pada Khamis, berhasrat memberi parol kepada Liew Chiew Seng.

Lelaki berusia 68 tahun itu, yang telah merengkok di penjara selama 21 tahun, mengalami penyakit Parkinson peringkat teruk.

Besar kemungkinan, dia akan dihantar pulang ke Malaysia selepas diberi parol oleh pihak berkuasa berkenaan yang bermesyuarat Julai ini.

Liew dijatuhi hukuman penjara 26 tahun kerana melepaskan dua tembakan yang meragut nyawa Dr Chang dalam cubaan memeras ugut pada 1991.

Permohonannya untuk mendapatkan parol ditolak tahun lepas.

Rakannya yang terlibat dalam pembunuhan itu, Phillip Lim Choon Tee, dihantar pulang ke Malaysia pada 2010 setelah menjalani hukuman penjara 18 tahun daripada hukuman maksimum 24 tahun yang dikenakan terhadapnya.

Pihak berkuasa parol mengambil kira pandangan bahawa masa semakin suntuk untuk Liew pulang ke tanah air.

"Majlis Semakan Semula Pelaku Kesalahan Serius serta Perkhidmatan Parol dan Percubaan percaya Liew tidak sesuai membuat perjalanan jika kesihatannya bertambah buruk," kata pihak berkuasa itu dalam kenyataannya.

Kini, Liew ditempatkan di sebuah hospital di Pusat Pemulihan Long Bay di Sydney dan akan segera dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen selepas dibebaskan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain