suria

Pasukan Rusia Sertai Operasi Di Lokasi Nahas Sukhoi

JAKARTA: Sejumlah 15 anggota pasukan mencari dan menyelamat dari Rusia pada Ahad dibenar bergabung dengan pasukan SAR Indonesia dalam operasi mencari dan mengeluarkan mangsa di tempat kejadian nahas pesawat awam Sukhoi Superjet 100 di Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat.

Pasukan dari Rusia itu bagaimanapun hanya diberi masa tiga hari untuk turut bersama dalam operasi itu dengan misi utama untuk membantu mengesan barangan pesawat itu.

Komandan Markas Suryakencana Bogor, Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat Kolonel Putranto berkata pasukan Rusia itu terdiri dari enam anggota utama dan sembilan pembawa barang.

Mereka tidak diizin untuk membawa kotak hitam atau benda apapun selain tidak dibenar menjalankan operasi pencarian melalui udara, katanya.

Sehingga kini, pasukan SAR belum menemui kotak hitam pesawat itu, yang terhempas di Gunung Salak, pada Rabu bersama 45 penumpang di dalamnya selepas ia didapati hilang daripada radar di menara kawalan udara pada kira-kira pukul 2.50 petang.

Operasi pada Ahad antara lain menemui tiga lagi mayat penumpang pesawat itu serta 75 peratus daripada bangkai pesawat itu di bahagian dasar jurang gunung itu.

Bahagian bangkai pesawat yang baru ditemui itu belum dapat diperiksa seluruhnya kerana bimbang ada serpihan bangkai pesawat yang bertabur di kawasan lebih tinggi akan menimpa anggota penyelamat.

Pada akhir hari kelima operasi, dengan tambahan lima beg mayat lagi, sejumlah 21 beg mayat berisi bahagian tubuh mayat penumpang dan barangan milik mereka telah dihantar ke hospital polis di Jakarta untuk dikenalpasti sebelum diserah kepada anggota keluarga untuk pengebumian.

Daripada sejumlah beg mayat itu, tiga beg mayat berisi barangan milik mangsa. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain