suria

Rakyat Israel Kebingungan Selepas Netanyahu Umum Bentuk K'jaan Campuran Dengan Pembangkang

JERUSALEM: Rakyat Israel kini dikatakan berada di dalam kebingungan selepas kerajaan yang diterajui oleh Benjamin Netanyahu secara mengejut semalam mengumumkan pembentukan kerajaan campuran dengan parti pembangkang iaitu Parti Kadima sekaligus membatalkan pilihan raya awal yang dijadualkan hujung tahun ini.

Netanyahu dan pemimpin Parti Kadima, Shaul Mofaz pada Selasa mengumumkan keputusan mereka untuk membentuk sebuah kerajaan campuran dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan politik dan mengelakkan pilihan raya awal.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan oleh akhbar Maariv pada Rabu, 30.7 peratus responden telah menyatakan sokongan mereka ke atas pembentukan kerajaan campuran baru itu manakala 29.9 peratus lagi menentang. Sebanyak 31 peratus lagi responden menyatakan pandangan yang bercampur baur.

Namun, lebih separuh daripada responden iaitu 50.9 peratus menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah tepat jika kepentingan negara dan juga kestabilan diambil kira.

Satu lagi tinjauan yang dijalankan oleh akhbar HaYom turut memperolehi jawapan yang hampir serupa dengan 39.6 peratus menyatakan sokongan mereka kepada pembentukan kerajaan campuran yang baru manakala 31.9 peratus menentang dan 28.4 peratus bingung dan tidak pasti.

Tinjauan ketiga yang dijalankan oleh stesen televisyen Channel 10 pula mendapati, 44 peratus menyokong langkah tersebut, 37 peratus menentang dan 19 peratus lagi tidak pasti atau tiada pandangan.

Artikel Lain