suria

Operasi Keluarkan Mangsa Nahas Pesawat Di Bogor Ditunda Ke Jumaat

JAKARTA: Cuaca buruk dan kesukaran untuk sampai ke tebing curam tempat pesawat buatan Rusia jenis Sukhoi Superjet 100 yang terhempas pada Rabu, memaksa pasukan mencari dan menyelamat menunda operasi mengeluarkan mangsa nahas itu ke pagi Jumaat.

Ketua Penyelaras Badan SAR Nasional (Basarnas) Ketut Purwa berkata operasi terpaksa dihentikan petang Khamis akibat cuaca buruk dan akan disambung semula pada pukul 6 pagi esok (Jumaat).

"Cuaca tidak bagus, mendung, kabut dan banyak petir," kata Ketut Purwa di Pusat Operasi Desa Cipelang, Bogor, Jawa Barat pada Khamis.

Nasib 45 penumpang pesawat itu masih belum diketahui setelah pasukan penyelamat mengesan dari udara serpihan bangkai pesawat itu di tebing curam, Gunung Salak, Bogor, pagi Khamis.

Angka terbaru jumlah penumpang itu diumumkan oleh pihak berkuasa setelah syarikat ejen Sukhoi mengesahkan lima orang yang terdaftar dalam senarai 50 penumpangnya, tidak menaiki pesawat malang itu pada Rabu.

Belum dapat dipastikan sama ada kumpulan pertama pasukan penyelamat yang terdiri daripada 72 anggota telah sampai ke tempat kejadian lewat petang Khamis sebagaimana yang dijangkakan, namun cuaca gelap dan cerun curam menyulitkan usaha menyelamat.

Ketut Purwa berkata tempat kejadian di lereng gunung itu berada di ketinggian 5,800 kaki di atas paras laut.

Lapan warganegara Rusia dari syarikat Sukhoi adalah antara penumpang pesawat itu selain warganegara Indonesia termasuk beberapa orang wartawan.

Pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang Rabu, dilaporkan hilang sekitar pukul 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara.

Sejurus sebelum itu juruterbang pesawat itu telah meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat itu dari ketinggian 10,000 kaki ke ketinggian 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa juruterbang itu bertindak sedemikian. - BERNAMA

Artikel Lain