suria

Negeri Carolina Utara Undi Haramkan Perkahwinan Sejenis

WASHINGTON: Pengundi di Negeri Carolina Utara, Amerika Syarikat telah mengundi untuk meluluskan pindaan ke atas perlembagaan negeri yang mengharamkan perkahwinan sejenis mahupun perkahwinan sivil antara gay dan lesbian.

Malah mereka juga telah mengundi untuk tidak mengizinkan negeri itu memberi kebenaran kepada pasangan sejenis daripada mengisytiharkan hak awam mereka sebagai satu pasangan rasmi.

Pengundian yang dijalankan itu menunjukkan 61 peratus menentang perkahwinan sejenis daripada disahkan disisi undang-undang manakala 39 peratus lagi bersetuju.

Keputusan ini telah diumumkan oleh Lembaga Pilihan Raya Negeri Carolina Utara.

Pindaan yang hampir sama turut dilakukan di lebih 30 buah negeri lain di seluruh Amerika Syarikat.

Presiden Barack Obama baru-baru ini telah menerima tekanan yang sangat kuat daripada beberapa gerakan gereja dan konservatif yang mahukan beliau menyatakan pendiriannya secara tegas berhubung isu tersebut khususnya selepas Naib Presiden,Joe Biden menyatakan beliau secara peribadi tidak menentang hak golongan gay dan lesbian untuk berkahwin dengan pasangan sejenis.

Bagaimanapun jurucakap Obama di Negeri Carolina Utara, Cameron French, menegaskan bahawa presiden secara dasarnya menolak sebarang penafian hak ke atas golongan gay dan lesbian.

Sebelum ini, beberapa gerakan menentang perkahwinan sejenis telah bergerak aktif di negeri Carolina Utara dengan menghulurkan dana kempen bagi memastikan mereka mencapai kemenangan dalam undian tersebut.

Antara lain Pertubuhan Kebangsaan Untuk Pasangan Berkahwin yang menentang perkahwinan sejenis telah menyumbang AS$425,000 kepada kempen berkenaan.

Manakala seorang paderi di Carolina Utara yang berusia 93 tahun bernama Billy Graham, telah membeli ruangan iklan satu muka surat penuh di dalam akhbar-akhbar berpengaruh di negeri berkenaan menyatakan tentangan terhadap perkahwinan sejenis.

"Pada usia 93 tahun, saya tidak pernah terfikir yang kita semua terpaksa berdebat tentang erti dan makna perkahwinan," kata Graham di dalam iklannya itu.

"Apa yang dinyatakan di dalam Kitab Injil adalah amat jelas...definasi yang dinyatakan oleh tuhan tentang perkahwinan ialan di antara seorang lelaki dan seorang wanita," ujar paderi itu lagi.

Setakat ini hanya terdapat enam buah negeri sahaja di Amerika yang mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain