suria

Mogok Juruterbang Air India, Lebih Banyak Laluan Antarabangsa Dibatalkan

NEW DELHI: Krisis Air India semakin buruk apabila pengurusan syarikat penerbangan itu berusaha mendapatkan campur tangan Mahkamah Tinggi Delhi berhubung mogok lebih 100 juruterbangnya yang menyebabkan beberapa penerbangan antarabangsa dibatalkan dari Delhi dan Mumbai.

Laluan yang terjejas adalah ke Amerika Utara termasuk Toronto, Chicago dan Newark, Hong Kong dan Singapura.

"Dua penerbangan dari Delhi ke Singapura dan ke New York dan satu penerbangan dari Mumbai ke Newark dibatalkan pada Rabu," kata jurucakap syarikat penerbangan itu kepada agensi berita Press Trust of India.

Pengurusan Air India, syarikat penerbangan nasional pada Rabu berusaha mendapatkan arahan daripada Mahkamah Tinggi Delhi untuk menghalang para juruterbang daripada terus mogok.

PTI juga berkata syarikat bermasalah itu setakat ini telah memecat 10 juruterbang sejak mogok bermula pada Isnin disebabkan pertikaian berhubung latihan bagi pesawat baharu Boeing 787 Dreamliner.

Syarikat penerbangan itu, yang merupakan yang ketiga terbesar dari segi bahagian pasaran domestik, mengendalikan 50 penerbangan antarabangsa setiap hari.

Ia menjalin perjanjian perkongsian kod dengan Singapore Airlines bagi sektor Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain