suria

Putin Secara Rasmi Angkat Sumpah Sebagai Presiden Rusia

MOSCOW: Vladimir Putin pada tengah hari Isnin secara rasminya mengangkat sumpah sebagai presiden untuk kali yang ketiga - yang pertama kali untuk seorang presiden pada era demokrasi.

Sambil meletakkan sebelah tangan di atas buku perlembagaan negara, Putin berikrar untuk menghormati dan mempertahankan hak dan kebebasan rakyat serta mempertahankan negara dari sebarang ancaman.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Dmitry Medvedev yang tidak bertanding mempertahankan kerusi berkenaan.

Di bawah perlembagaan baru Rusia selepas era komunis, seorang presiden tidak dibenarkan mempertahankan jawatan lebih daripada dua penggal tetapi dibenarkan kembali berkhidmat sekali lagi selepas itu.

Putin pertama kali menyandang jawatan presiden pada tahun 2000 iaitu ketika Presiden Boris Yeltsin terpaksa melepaskan jawatannya ekoran masalah kesihatan.

Selepas tamat tempoh berkenaan beliau bertanding mempertahankan jawatan itu dan menang besar sehingga tempoh penggal keduanya tamat pada 2008.

Pada tahun 2008, Medvedev yang ketika itu adalah perdana menteri Rusia bertanding mewakili parti yang diketuai oleh Putin untuk jawatan presiden.

Selepas menang, Medvedev melantik Putin pula sebagai perdana menteri.

Perdana Menteri di bawah sistem pentadbiran Rusia adalah ketua jemaah menteri dan menguruskan hal ehwal pentadbiran harian negara manakala presiden pula sebagai ketua negara bertanggungjawab secara langsung ke atas keselamatan negara dan hal ehwal luar negara.

Kali ini semua orang sedang ternanti-nanti apakah Putin sekali lagi akan melantik Medvedev kembali ke jawatan perdana menteri untuk menguruskan urusan harian dalam negara.

Walaupun Putin meraih kemenangan besar dalam pilihan raya presiden pada 4 Mac lalu dengan sokongan undi 63.6 peratus tetapi sebahagian besar para penentangnya telah melancarkan kempen menentang kemenangannya itu.

Salah satu daripada tentangan itu ialah berkaitan dengan tindakan Medvedev menukar tempoh mandat presiden dari empat kepada enam tahun.

Ini bermakna jika Putin memenuhi mandat enam tahun itu sehingga 2018, tempoh pemerintahannya akan menyamai pemimpin Soviet Leonid Brezhenv sebagai pemimpin paling lama memerintah Rusia selepas Stalin.

Artikel Sebelum

Suu Kyi Peroleh Pasport

Artikel Berikut

Artikel Lain