suria

Pengurus Pusat Konvensyen KL Terima Satu Lagi Anugerah Antarabangsa

MELBOURNE: AEG Ogden, yang menguruskan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), telah memenangi satu lagi anugerah antarabangsa apabila Pusat Konvensyen Nasional Qatar (QNCC) dipilih sebagai "Pusat Konvensyen dan Pameran Terkemuka Timur Tengah" pada Anugerah Pelancongan Dunia 2012 di Dubai.

Anugerah Pelancongan Dunia tahunan itu mengiktiraf, menganugerah dan meraikan kecemerlangan semua sektor dalam industri perjalanan dan pelancongan dunia.

QNCC dirasmikan pembukaannya Disember lepas dan Kongres Petroleum Dunia ke-20 menyaksikannya menjadi tuan rumah buat julung-julung kalinya.

Sejak itu, ia telah menjadi hos kepada 112 acara yang dihadiri oleh lebih 128,000 pelawat, termasuk acara berprofil tinggi, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata AEG Ogden dalam satu kenyataan.

Pada Mac tahun ini, KLCC dinamakan "Pusat Kovensyen Terbaik di Asia" pada Anugerah Laporan MICE 2012.

KLCC dibuka pada 2005 dan kini menampilkan profil acara tahunan antarabangsa yang hebat.

Ia telah memenangi sebilangan anugerah industri termasuk anugerah Pusat Pameran dan Konvensyen Terbaik di Asia oleh Travel Weekly bagi dua tahun berturut-turut.

Pengarah Pusat Konvensyen AEG Ogden, Geoff Donaghy, berkata syarikat itu amat menghargai anugerah antarabangsa dan kebangsaan yang diberikan kepada pusat-pusat yang diuruskannya.

"Anugerah-anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada komitmen, dedikasi dan usaha gigih yang diberikan oleh pengurusan dan kakitangan kami dalam menjadikan tempat-tempat ini lebih menonjol daripada yang lain dalam industri yang amat sengit persaingannya," tegas beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain