suria

Malaysia Mahu Jumlah Anggota Majlis Keselamatan Ditambah

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu jumlah anggota Majlis Keselamatan dalam kategori tetap dan tidak tetap ditambah, kata Timbalan Wakil Tetapnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Saiful Azam Abdullah.

Berucap pada mesyuarat pleno di New York semalam, beliau berkata Malaysia mengharapkan jumlah anggota majlis bagi kedua-dua kategori itu ditambah kerana yakin ia akan mencerminkan keadaan sebenar dunia hari ini.

"Ramai dalam kalangan kita ingin tahu ke mana arah tuju kita dari sini. Oleh itu, perbincangan tidak sepatutnya terhenti di sini saja, tapi perlu diteruskan kerana inilah langkah yang sepatutnya diambil," katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama di sini, Khamis.

Saiful menyertai rundingan pusingan kelapan mengenai perwakilan sama rata berhubung penambahan jumlah anggota majlis itu serta perkara lain yang berkaitan.

Beliau juga berkata majoriti negara anggota ingin melihat penambahbaikan segera dilakukan terhadap kaedah bekerja majlis itu.

Katanya walaupun majlis itu mahir dengan kaedah bekerjanya, tetapi ia juga perlu membuat perubahan berpandukan kehendak masa.

Mengenai kuasa veto, Saiful berkata Malaysia tidak putus-putus menyeru agar kuasa itu dihapuskan, sejajar dengan prinsip kedaulatan sama rata yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan PBB. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain