suria

Konsul Harap Kerajaan Malaysia Benarkan Tenaga Kerja Indonesia Bawa Keluarga

TAWAU: Konsul Indonesia di Tawau, Muhammad Soleh berharap kerajaan Malaysia membenarkan tenaga kerja Indonesia (TKI) membawa bersama isteri dan anak mereka ketika datang bekerja di negara ini, khususnya di Tawau.

Beliau berkata kerajaan Malaysia perlu menimbangkan perkara itu kerana penyatuan TKI dengan isteri dan anak-anak adalah merupakan unsur yang paling utama. "Oleh itu perlulah kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Sabah membenarkan TKI ini membawa keluarga (anak-anak dan isteri) mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pendidikan Komuniti (CLC) di Ladang Apas Balung, milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), untuk anak-anak TKI SLDB, di sini, Rabu.

Muhammad Soleh berkata langkah itu secara tidak langsung akan merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan daya membeli berikutan terdapat kira-kira 130,000 TKI di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Langkah itu juga amat baik kepada produktiviti sektor perladangan kerana TKI akan bekerja dengan tekun dan tenteram kerana orang yang dikasihi berada di sisi, katanya.

Mengenai langkah kerajaan Indonesia menaik taraf Pejabat Konsul Tawau daripada cawangan pejabat konsulat di Kota Kinabalu kepada pejabat konsulat penuh, Muhammad berkata ia akan meningkatkan lagi kecekapan pengurusan dokumentasi rakyat Indonesia khususnaya TKI di sini.

"Pemerintah Malaysia memberi persetujuan mengenai perkara itu sejak tahun 2010. Sejak itu juga pemerintah Indonesia menetapkan bahawa Konsulat Indonsia di Tawau berdiri sendiri, bukan lagi cawangan daripada Kota Kinabalu yang dibuka sejak 1961. "Ini merupakan satu petunjuk bahawa tempat-tempat itu (Kota Kinabalu dan Tawau) penting," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain