suria

Sekteriat Asean Kini Bangunan Bebas Dari Amalan Merokok

JAKARTA: Ibu pejabat Asean di sini dengan rasminya diisytihar bangunan bebas dari amalan merokok, menjelang berlangsungnya upacara pelancaran Sekretariat Asean Bebas Dari Merokok.

Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan, mengetuai upacara membuka tirai papan tanda "Smoke-free" di lobi ibu pejabat Asean, pada Rabu.

Pengarah Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA) Bungon Ritthiphakdee ketika mengulas langkah itu berkata kepimpinan Sekretariat Asean menunjukkan teladan baik, tidak setakat simbolik.

"Ia dilaksanakan menerusi komitmen dan tindakan konkrit," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan Sekretariat Asean.

Bahagian Kesihatan dan Penyakit Berjangkit Sekretariat Asean dengan sokongan SEATCA dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berhasrat mempertingkatkan pelaksanaan memorandum setiausaha agung mengenai persekitaran bebas dari merokok.

Dr Surin telah mengeluarkan memorandum meminta agar Sekretariat Asean bebas dari amalan merokok seawal 2009 lagi, dan upacara hari ini bertujuan mempertingkatkan momentum dan secara formal menampilkan sekretariat itu kepada masyarakat antarabangsa sebagai bangunan bebas dari amalan merokok.

Memorandum itu menggesa semua staf dan pelawat ke ibu pejabat itu mematuhi dasar "tidak merokok" di semua bilik, tandas, lobi, dan kaki lima demi kesihatan, keselamatan dan kebajikan setiap orang di Bangunan Sekretariat Asean. -BERNAMA

Artikel Lain