suria

Pinjaman Bantu Pelajar Thailand Nikmati Kehidupan Lebih Selesa

BANGKOK: Thitikorn Pongpan, 31, yakin dia tidak akan dapat menyempurnakan pengajian peringkat ijazah selama empat tahun dalam jurusan kejuruteraan di King Mongkut Institute of Technology di sini pada 2001, sekiranya tidak wujud pinjaman pelajaran kerana keadaan keluarganya yang begitu daif.

“Dengan ijazah yang dimiliki, saya dapat mengubah kehidupan saya dan keluarga, manakala taraf hidup kami juga kini bertambah baik," katanya.

Thitikorn mengambil pinjaman sebanyak 240,000 baht (kira-kira RM24,000) dan membayar balik pinjaman itu secara ansuran 4,000 baht (RM400) sebulan.

“Saya gembira kerana mampu membayar balik pinjaman itu sekarang dan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan pinjaman itu setelah kerajaan banyak membantu saya ketika saya amat memerlukan wang suatu ketika dulu," katanya.

Ponsiri Kamwang, 31, juga tidak yakin akan dapat menikmati kehidupan lebih selesa sekarang sekiranya dia tidak mengambil pinjaman pelajaran dari peringkat sekolah menengah tinggi hinggalah ke peringkat ijazah ketika menuntut di Mahasarakarm University di Issan.

“Saya mengambil pinjaman pelajaran sebanyak 270,000 baht (kira-kira RM27,000) dan saya ingin katakan bahawa ia merupakan suatu pelaburan yang sungguh berbaloi dan saya membayar balik pinjaman itu," kata Ponsiri, yang bertugas sebagai wartawan dengan sebuah akhbar tempatan.

Sementara itu, kerajaan Thailand merancang untuk mewujudkan semula Pinjaman Kontingen Pendapatan (ICL) bagi menggantikan Dana Pinjaman Pelajar (SLF) sedia ada untuk meringankan beban kewangan pelajar universiti.

Menteri Pelajaran, Suchart Thada-Thamrongvech berkata, di bawah ICL, peminjam boleh memilih tempoh kelonggaran selama tiga tahun selepas tamat pengajian untuk membayar balik pinjaman atau mula membayar balik pinjaman apabila gaji bulanan mereka mencapai 16,000 baht (kira-kira RM1,600).

Kementerian Pelajaran memperuntukkan 6.2 bilion baht (kira-kira RM620 juta) untuk ICL, yang meliputi yuran pelajaran, perbelanjaan dan kos sara hidup seperti yuran makmal.

Di samping menyediakan biasiswa untuk pelajar cemerlang, kata Suchart, ICL juga bertujuan membantu pelajar miskin yang mendapat keputusan baik dalam peperiksaan, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Antara syarat pinjaman ialah pendapatan tahunan ibu bapa pemohon mestilah tidak lebih 300,000 baht (kira-kira RM30,000).

Di bawah SLF sedia ada, pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan tidak lebih 200,000 baht (kira-kira RM20,000) setahun, layak mendapat pinjaman itu dan bayaran balik perlu dibuat tiga tahun selepas tamat pengajian.

SLF menyediakan pinjaman berjumlah kira-kira 76,000 baht (lebih kurang RM7,600) setahun bagi pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan sastera dan 96,000 baht (kira-kira RM9,600) bagi pelajar jurusan sains, dengan tempoh bayaran balik selama 13 tahun.

Suchart berkata, SLF sedia ada akan diteruskan untuk memenuhi keperluan pelajar sekolah menengah tinggi.

Sejak 1996, SLF memberi pinjaman berjumlah 357 bilion baht (kira-kira RM35.7 bilion) kepada 3.7 juta pelajar. Lebih kurang 2.4 juta peminjam sedang berurusan untuk membayar balik pinjaman itu, manakala 1.8 juta lagi atau 75 peratus telah selesai membayar balik pinjaman masing-masing.

Skim pinjaman pelajaran di negara ini tidak menyediakan kemudahan menukarkan pinjaman kepada biasiswa, walaupun peminjamnya yang mengikuti pengajian di 140 universiti awam dan swasta, cemerlang dalam pelajaran.

ICL diperkenalkan kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra untuk memberi pinjaman kepada pelajar pada tahun akademik 2006. Bagaimanapun, skim ini dihentikan setelah beliau digulingkan melalui satu rampasan kuasa. - BERNAMA

Artikel Lain