suria

Pelajar Singapura Ambil Pinjaman Atau Kerja Sambilan Untuk Ke Universiti

SINGAPURA: Pelajaran memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan negara dan seperti Malaysia, kerajaan Singapura juga memberi subsidi kepada sebahagian besar pendidikan di universiti melalui geran dan bantuan tambahan berupa pelbagai skim bantuan kewangan, termasuk pinjaman dan dermasiswa.

Bagaimanapun, bukan semua pelajar universiti di sini mendapat biasiswa dan oleh itu, mereka yang tidak mendapat bantuan kewangan, terpaksa berikhtiar dengan bekerja sambilan atau mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai pelajaran masing-masing.

Tommy Lai, pelajar tahun dua di sebuah institusi pengajian tinggi swasta, berkata dia terpaksa bekerja secara sambilan untuk mengatasi kekangan kewangan bagi membiayai pengajiannya.

"Saya tak kisah, asalkan kelayakan yang saya peroleh kelak akan meningkatkan nilai saya di pasaran," katanya.

Seperti Lai dan ramai pelajar lain di Singapura, Lisa Tan yang melanjutkan pengajian di universiti swasta juga bekerja secara sambilan. Kata pelajar ini universiti tempat dia belajar mendapat 55 peratus subsidi bagi yuran pengajian daripada kerajaan.

"Bagaimanapun, saya tak kisah bekerja, asalkan saya boleh berjaya dan mendapat pekerjaan yang baik pada masa akan datang," katanya.

Menteri Negara bagi Pendidikan Lawrence Wong baru-baru ini berkata memandangkan ekonomi Singapura berkembang daripada segi skala dan kecanggihannya, lebih ramai rakyat yang berkemahiran tinggi diperlukan dan kerajaan pula berusaha untuk memenuhi aspirasi generasi muda untuk memiliki ijazah.

Kini, pelajar universiti awam boleh mengambil pinjaman tanpa faedah untuk membayar yuran tuisyen. Mereka hanya mula membayar faedah setelah tamat pengajian.

Pelajar universiti swasta hanya layak mengambil pinjaman bank yang mengenakan purata faedah lima peratus.

Akhbar The Straits Times melaporkan kira-kira 40,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap negara ini mendaftar untuk mengikuti program ijazah di institusi pengajian tinggi swasta, manakala 60,000 melanjutkan pelajaran peringkat diploma yang membawa kepada pengajian di peringkat ijazah.

Wong berkata di sesetengah negara seperti Amerika, Kanada dan the United Kingdom, sebahagian besar pendidikan universiti dibiayai melalui pinjaman pelajar.

Untuk meringankan beban kewangan pelajar, kebanyakan pinjaman ini diberi subsidi oleh kerajaan, sama ada dalam bentuk pinjaman yang mengenakan kadar feadah rendah atau dilanjutkan tempoh pembayaran baliknya tanpa mengenakan faedah.

Wong, yang mengetuai sebuah jawatankuasa 15 anggota, berkata pihaknya sedang mengkaji idea tersebut untuk melihat sama ada mereka boleh membuat penyesuaian atau mengamalkannya dalam konteks Singapura untuk menjadikan skim pinjaman lebih menarik sebagai sumber pembiayaan tambahan untuk pendidikan universiti, di samping geran dan dermasiswa yang disediakan kerajaan.

Singapura mempunyai empat universiti awam National University of Singapore, Nanyang Technological University, Singapore Management University dan Singapore University of Technology and Design (SUTD).

Sejak beberapa tahun lepas, permohonan untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam tempatan berjumlah 50,000 setiap tahun, walaupun hanya 12,000 tempat disediakan.

Peningkatan permintaan bagi pengajian tinggi menjadikan jumlah rakyat Singapura yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah serta diploma di universiti dan kolej swasta melonjak kepada lebih 100,000 setahun.

Institusi swasta juga menawarkan pelbagai biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam bidang akademik serta memiliki kualiti pemimpinan dan bakat khas, manakala pelajar yang kurang berkemampuan pula boleh memohon bantuan kewangan jika memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Pakej bantuan kewangan ini disediakan berdasarkan pengiktirafan bahawa pendidikan universiti merupakan gandingan yang melibatkan pelajar, keluarga mereka dan universiti.

Pelbagai institusi kewangan menawarkan Pinjaman Yuran Tuisyen (TFL) kepada pelajar yang memasuki universiti dengan syarat mereka mempunyai penjamin.

TFL tidak mengenakan faedah sepanjang tempoh pengajian. Bagaimanapun, faedah perlu dibayar sebulan selepas tamat pengajian, manakala pembayaran balik pula akan bermula sama ada 12 bulan atau 24 bulan selepas tarikh permulaan pembayaran faedah.

Tetapi, pelajar yang menamatkan pengajian sebelum berakhirnya tempoh pengajian diwajibkan membayar balik pinjaman mulai tarikh mereka menarik dari daripada mengikuti pengajian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain