Riau Mahu Pelajari Cara Malaysia Bangunkan Sektor Pelancongan - Dunia | mStar

Riau Mahu Pelajari Cara Malaysia Bangunkan Sektor Pelancongan

RIAU: Provinsi Riau mahu mempelajari cara Malaysia membangunkan sektor pelancongan dalam usaha memperkasakan sektor itu di wilayah tersebut.

Ketua Bagian Wisata Provinsi Kepulauan Riau, Rahman Osman berkata dalam merealisasikan usaha tersebut, Riau akan meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam sektor pelancongan.

"Matahari sama saja sinarnya di nusantara ini, namun mengapa Malaysia mampu menarik lebih 18 juta pelancong setiap tahun (tahun lepas 24.7 juta), sedangkan Indonesia hanya kira-kira tujuh juta pelancong.

"Pada pemerhatian saya, objek wisata (produk pelancongan) kita lebih banyak, maka bagaimana keberkesanan Malaysia mempromosi objek wisata mereka itu perlu kita kaji," katanya kepada Bernama di Daik, Lingga di sini.

Riau merupakan sebuah wilayah terletak di tengah Sumatera berkeluasan lebih 75,000 km persegi dengan penduduk melebihi enam juta.

Osman berkata prospek pembangunan pelancongan di Riau amat luas dan kerjasama dengan Malaysia diharap dapat menjadi pemangkin bagi melahirkan lebih banyak program kerjasama pelancongan.

"Tidak ada gunanya kita hidup bersama sebelah-menyebelah di nusantara ini jika kita tidak bekerjasama bagi membangunkan dua negara yang mempunyai 'darah yang sama' ini," katanya.

Beliau turut menjemput syarikat swasta di Malaysia atau negara Asean yang lain untuk melabur dalam sektor pelancongan di Pulau Benan yang dianggap sebagai pintu masuk strategik bagi sektor pelancongan di daerah Lingga.

Katanya bagi menggalakkan kemasukkan pelaburan itu, Indonesia akan memberikan insentif pengecualian cukai selama lima tahun kepada pelaburan di Pulau Benan.

Wakil Bupati (timbalan wakil rakyat daerah) Kabupaten Lingga, Abu Hasim berkata Lingga mempunyai banyak kesan sejarah yang berpotensi dimajukan sebagai produk pelancongan.

"Lingga mempunyai sejarah diperintah enam kesultanan, memerintah antara tahun 1761 hingga 1911, maka sejarah peninggalan kesultanan ini amat banyak dan berpotensi diteroka sebagai objek wisata.

"Selain sejarah kesultanan, Lingga seluas lebih 211 km persegi terdiri daripada 99 peratus laut. Ini menunjukkan potensi pelancongan berasaskan lautan seperti memancing, menyelam dan snorkel," katanya.

Hasim berkata Lingga juga mempunyai 531 buah pulau di mana lebih 90 daripadanya dilihat berpotensi dijadikan sebagai destinasi istirahat. Selain itu gunung Daik berpotensi dijadikan produk pelancongan bagi aktiviti pendakian.

Beliau berkata persamaan budaya dan sejarah antara orang Melayu Lingga dan orang Melayu di nusantara akan turut dijadikan faktor penarik kedatangan pelancong ke Lingga.

"Seperti orang Melayu di Malaysia dan Lingga amat besar persamaanya, lebih 90 peratus sama. Daripada segi bahasa, makanan, tarian juga muzik amat banyak persamaanya. Ini faktor penarik bagi pelancong dari Malaysia.

"Apa yang penting sekarang kita perlu eratkan persahabatan serta kerjasama antara Malaysia dan Lingga. Dengan persahabatan yang erat bangsa Melayu boleh maju ke hadapan secara bersama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pertempuran Di Kaherah: 1 Maut, 119 Cedera

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Kamera Termahal Di Dunia Dilelong

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain