suria

Polis Tahan Lelaki Ancam Letupkan Diri Di Kota London

LONDON: Polis telah berjaya menahan seorang lelaki yang mengancam akan meletupkan dirinya di dalam sebuah pejabat yang terletak di tengah-tengah bandar ini.

Ancaman tersebut telah mendorong pihak berkuasa mengepung dan mengosongkan kawasan seluas 300 meter persegi di Jalan Tottenham Court selama lebih tiga jam.

Polis mula mengambil alih sekitar kawasan tersebut selepas lelaki itu mula melempar keluar monitor komputer dari tingkap tingkat lima bangunan pejabat berkenaan.

"Daripada maklumat orang ramai, yang menjadi kebimbangan kami ialah kemungkinan lelaki itu memiliki bahan letupan atau bahan mudah terbakar bersamanya," kata Komander Polis Metropolitan, Mak Chishty kepada para pemberita.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu berkata, lelaki berkenaan yang berusia 48 tahun telah mengikat silinder gas ke atas badannya dan menculik empat lelaki bersamanya.

Bagaimanapun selepas berunding dengan pihak polis, lelaki berkenaan menyerahkan diri dan ditahan pada jam 3 petang waktu tempatan.

Polis enggan mengesahkan laporan saksi yang mengatakan lelaki berkenaan mengikat dirinya dengan silinder gas.

Sementara itu pejabat portal berita The Huffington Post yang terletak berdekatan dengan tempat kejadian melaporkan, lelaki berkenaan didapati telah menyerbu sebuah pejabat yang menguruskan kursus memandu trak.

Portal berita itu turut menyiarkan temuramah video dengan salah seorang pekerja syarikat itu yang berkata yang lelaki berkenaan menyerbu masuk ke pejabat mereka dengan badan terlilit silinder gas dan mengancam akan meletupkannya.

Artikel Lain