suria

Keluarga Diraja Liechtenstein Yang Berusia 900 Tahun Ancam Untuk Turun Takhta

ZURICH: Sebuah keluarga diraja yang telah memerintah secara autonomi di sebuah wilayah paling kecil di Eropah iaitu Liechtenstein selama 900 tahun kini mengancam untuk turun takhta seandainya kuasa veto yang ada pada mereka ditarik balik.

Liechtenstein yang merupakan sebuah prinsipaliti (wilayah kecil) sejak turun temurun diperintah oleh keluarga diraja Liechtensteins dan sejak terbubarnya Empayar Holy Roman pada 1806, mereka telah memerintah wilayah itu secara autonomi.

Putera Alois von und zu Liechtenstein iaitu pemerintah sekarang telah mengancam untuk turun takhta sekiranya negara itu meluluskan referendum yang menarik balik kuasa veto iaitu kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

"Sekiranya rakyat memilih untuk tidak mahu lagi kuasa veto berada di tangan keluarga diraja maka kami ingin menegaskan yang kami ingin berundur daripada melaksanakan tanggungjawab politik dan negara," titah Putera Alois.

Liechtenstein hanya mempunyai 36,000 warga negara dan berkeluasan 160.5 kilometer persegi dan terletak di antara Austria dan Switzerland sejak turun temurun menikmati taraf kehidupan yang tinggi.

Ia adalah negara keempat terkecil di benua Eropah selepas Vatican, Monaco dan San Marino.

Ayahanda Putera Alois, Hans-Adam II, yang menyerahkan takhta pemerintahan kepada anaknya itu pada tahun 2004 merupakan salah seorang manusia terkaya di Eropah dan juga dunia dengan anggaran kekayaan sehingga AS$4 bilion, menurut majalah bisnes Forbes.

Bagaimanapun keluarga diraja ini berasa kecil hati dengan tindakan segelintir warga negaranya yang telah melancarkan kempen menarik balik kuasa veto dari tangan keluarga diraja dan mengembalikan hak itu kepada rakyat.

Gerakan ini bermula tahun lalu apabila Putera Alois mengancam untuk menggunakan kuasa vetonya jika negara itu meluluskan referendum membenarkan pengugguran janin.

Referendum itu akhirnya gagal mendapat sokongan majoriti rakyat dan pihak yang melancarkannya menyalahkan ancaman Putera Alois sebagai punca.

Artikel Sebelum

Artikel Lain