suria

Pm Pakistan Kata Hanya Parlimen Boleh Pecatnya

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani pada Jumaat berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun didapati bersalah kerana menghina mahkamah kerana kuasa memecatnya hanya terletak di tangan Parlimen.

"Tidak ada undang-undang yang boleh menyingkirkan seorang perdana menteri yang dipilih dari kerusinya melainkan parlimen," katanya kepada Dewan Rakyat yang bersidang sehari selepas Mahkamah Agung secara simbolik menjatuhkan hukuman ke atasnya kerana menghina mahkamah.

Mahkamah Agung telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Gilani pada Khamis setelah perdana menteri itu enggan menurut perintah menulis surat kepada pihak berkuasa Switzerland supaya membuka semula kes siasatan ke atas Presiden Asif Ali Zardari.

"Saya adalah seorang perdana menteri yang dipilih iaitu oleh lebih 180 juta orang rakyat Pakistan. Mana boleh seorang perdana menteri yang dipilih diminta meninggalkan pejabatnya?" tanya beliau.

"Oleh yang demikian saya akan hanya meletakkan jawatan sekiranya dewan ini yang mengarahkannya bukan orang lain," ujarnya lagi.

Apatah lagi kata Gilani, beliau tidak melakukan sebarang jenayah atau melakukan suatu kesalahan.

Zardari dan isterinya bekas perdana menteri, Benazir Bhutto, dituduh melarikan wang hasil daripada rasuah kontrak bernilai sehingga AS$12 juta ke Switzerland pada tahun 1990-an.

Gilani menegaskan beliau tidak boleh mengarahkan kertas siasatan itu dibuka semula kerana sebagai presiden, Zardari mempunyai imuniti.

Artikel Lain