suria

Pesawat Susi Air Hilang Di Kalimantan Timur

JAKARTA: Pesawat Susi Air jenis Pilatus yang terputus hubungan dengan menara kawalan udara pada Rabu petang di daerah Kutai Barat, wilayah Kalimantan Timur, belum ditemui.

Pegawai Perhubungan Awam Badan SAR Nasional (Basarnas) Gagah Prakoso berkata pasukan mencari dan menyelamat dan pasukan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara masih meneruskan operasi mencari.

"Pasukan mencari dan menyelamat sedang mencari melalui laluan darat," kata Gagah seperti yang dipetik portal berita detik.com.

Gagah menjangka pasukan penyelamat dapat sampai ke kawasan pesawat itu dilapor hilang dalam masa 10 jam dan lebih banyak anggota termasuk dari Susi Air akan menyertai operasi itu Khamis.

Pesawat itu, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sepinggan Balikpapan, Kalimantan Timur, disewa khas untuk melakukan pemetaan gambar di wilayah Kalimantan.

Ia membawa seorang juruterbang bernama Jonathan Willis dan seorang jurufoto.

Sementara itu, Ketua Lapangan Terbang Temindung Samarinda Rajoki Aritonang berkata pihaknya telah menyelaras usaha dengan semua pihak untuk mencari pesawat itu. - BERNAMA

Artikel Lain