suria

Murid Di Thailand Terpaksa Tunggu Untuk Komputer Tablet

BANGKOK: Kira-kira 860,000 murid Tahun Satu di Thailand yang dijanjikan komputer tablet percuma setiap seorang apabila penggal baru persekolahan bermula pertengahan bulan depan kini terpaksa menunggu lebih lama.

Keadaan itu timbul berikutan kerajaan dan pembekal komputer tablet dari China, Syarikat Pembangunan Data Santifik Shenzhen, masih dalam proses merangka kandungan perjanjian selepas majlis memeterai perjanjian itu ditangguh beberapa kali sebelum ini.

Menteri Penerangan dan Teknologi Komunikasi Thailand, Anudith Nakornthap berkata ketika ini masih belum jelas bila perjanjian kontrak itu dapat dimeterai kerana semua dokumen wajar sedang disediakan.

"Fasa pertama bekalan komputer tablet dijangka sampai ke sekolah pada Julai ini," katanya di sini, Khamis.

Ekoran perkembangan terbaharu itu, Kementerian Pelajaran telah menggerakkan pelan kontingensi dengan menyediakan buku teks untuk pelajar Tahun Satu.

"Kami akan memastikan murid sekolah menerima buku teks apabila sesi persekolahan bermula," kata Menteri Pelajaran Suchart Tadathamrongvej.

Semasa kempen pilihan raya tahun lepas, Perdana Menteri Yingluck Shinawarta menjanjikan komputer tablet kepada setiap murid sekolah Tahun Satu pada pembukaan sesi persekolahan baru tahun ini.

Mengikut perancangan asal, syarikat itu perlu membekalkan kesemua 900,000 unit komputer tablet dalam tempoh 90 hari selepas kontrak ditandatangani.

Syarikat China itu memenangi kontrak bernilai 1.9 bilion Baht (kira-kira RM190 juta) bulan lepas bagi membekalkan 900,000 unit termasuk 40,000 unit untuk tenaga pengajar dan inventori simpanan.

Harga ditawarkan untuk setiap unit komputer tablet dengan spesifikasi khusus tersebut adalah US$81 (RM247.30) termasuk skrin sesentuh selebar tujuh inci, kapasiti 16GB, 1GHz dual core CPU, 512MB RAM dan sistem operasi Android 3.2 yang padanan dengan Android 4.0.

Kandungan dalam buku elektronik itu termasuk mata pelajaran Sains, Matematik, bahasa Thai, Inggeris, Sains Sosial, Agama dan Kebudayaan boleh dilihat menerusi fail PDF dan mata pelajaran teras boleh diperoleh dalam bentuk pembelajaran 336 objek yang boleh dimainkan dengan menggunakan 'flash player' pada komputer.

Perdebatan mengenai 'Dasar Satu Tablet Satu Murid' itu menarik perhatian pihak penyokong dan pihak membantah dengan pihak menyokong menyatakan langkah itu akan membolehkan kanak-kanak mengakses maklumat dan ilmu pengetahuan begitu luas dalam era digital.

Terdapat juga rancangan bagi ibu bapa murid Tahun Satu diminta menandatangani borang bagi memastikan mereka mengawasi anak-anak mereka ketika menggunakan peralatan elektronik itu di rumah.

Bagaimanapun, ada sebilangan pihak mempersoalkan kualiti dan tahap keselamatan produk buatan China itu.

"Bolehkah kerajaan memberi jaminan komputer tablet itu tidak akan membahayakan murid," soal Parinya Sirisarakan, seorang ahli Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia.

Begitu juga gambar Perdana Menteri Yingluck Shinawatra memegang sebuah iPad ketika berkempen mengenai dasar itu pada pilihan raya umum tahun lepas telah menjengkelkan beberapa pemimpin pembangkang.

"Dia menunjukkan tablet Amerika Syarikat kepada pengundi semasa berkempen meraih undi tetapi memberikan tablet China selepas memenangi pilihan raya.

"Kerajaan boleh membeli produk murah tetapi ia sepatutnya dimaklumkan kepada rakyat terlebih dahulu," kata Ketua Pembangkang Abhisit Vejjajiva.

Bekas perdana menteri itu berkata kerajaan perlu merangka program menggunakan tablet itu untuk memanfaatkan pendidikan kanak-kanak serta program sokongan sekiranya murid berusia tujuh tahun itu menghadapi masalah teknikal.

Sambungan internet juga menimbulkan persoalan kerana Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Asas telah melaporkan bahawa hanya 789 daripada 24,098 buah sekolah mempunyai talian gentian optik untuk melakukan sambungan kepada internet. - BERNAMA

Artikel Lain