suria

Keluarga Osama Dipindah Keluar Dari Pakistan

RAWALPINDI: Keluarga Osama bin Laden dilaporkan sudah dibawa keluar dari Pakistan ke Arab Saudi, awal pagi Jumaat, setahun selepas pemimpin Al-Qaeda itu terbunuh dalam satu serbuan tentera Amerika Syarikat (AS).

Tiga isteri dan anak-anak Osama yang menjadi perancang serangan 9 September di AS itu ditahan di Pakistan selepas beliau dibunuh oleh anggota komando laut AS dalam satu operasi di Abbottabad, utara Islamabad.

Washington dan Islamabad ketika ini sedang berusaha memperbaiki hubungan dua hala yang teruk terjejas berikutan pemburuan orang paling dikehendaki di dunia itu yang dikatakan tinggal dalam persembunyian di Pakistan.

Pihak berkuasa Pakistan dilaporkan sudah merobohkan rumah yang didiami Osama di Abbottabad.

Selepas 10 bulan dalam tahanan di Pakistan, isteri Osama dan dua anak perempuannya dijatuhi hukuman tahanan dalam rumah selama 45 hari kerana memasuki dan tinggal di negara itu secara haram.

Pada malam Khamis, sebuah bas mini dilaporkan mengambil keluarga Osama berkenaan dari sebuah rumah di Islamabad yang menjadi tempat tinggal mereka sepanjang dalam tahanan 10 hari lalu.

Kesemua keluarga berkenaan terdiri daripada 12 orang iaitu tiga isteri Osama, lapan anak, seorang cucu.

Seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata: “Pesawat yang membawa mereka meninggalkan Pakistan menuju Arab Saudi."

Artikel Lain