suria

Fesyen Islamik Rekaan Anak Malaysia Diperagakan Di London

LONDON: Pereka fesyen Malaysia menjadi tumpuan tatkala busana Islamik rekaan mereka diperagakan di Natural History Museum di South Kensington.

Bernard Chandran, Melinda Looi, Datuk Tom Abang Saufi, Yin Ping dan Syaiful Baharim adalah antara pereka fesyen yang hasil ciptaan mereka diperagakan pada Festival Fesyen Islamik (IFF) pada Rabu.

IFF yang dianjurkan untuk tahun kedua bertema "Diversity in Modesty" diadakan dengan kerjasama The Duke of Edinburgh International Award for Young People dan The Wessex Youth Trust.

Countess of Wessex Sophie Rhys-Jones menghadiri majlis gala itu bersama-sama dengan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang mengetuai barisan kerabat diraja yang hadir pada majlis berprofil tinggi itu.

Antara kerabat yang hadir ialah Sultanah Kalsom dari Pahang, Sultanah Nur Zahirah dari Terengganu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah.

Mengiringi Tuanku Hajah Haminah ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang merupakan penaung IFF.

"Kami menyaksikan kebangkitan ramai pereka busana Islam berbakat dari seluruh dunia. Pereka ini menghasilkan pakaian yang bukan sahaja sesuai dengan budaya tempatan mereka, tetapi mereka juga mengadunkan gaya global dalam rekaan mereka. Festival ini membuka peluang besar kepada semua pereka fesyen," kata Rosmah dalam ucapannya pada majlis gala itu.

"Kami berharap untuk memberikan mesej bahawa fesyen Islamik juga adalah mengikut trend semasa, berwarna-warni dan bergaya sepertimana fesyen arus perdana. Dapat dikatakan bahawa kreativiti tidak dikompromi dalam fesyen Islamik yang mementingkan kesopanan," katanya.

The Duke of Edinburgh International Award dan The Wessex Youth Trust ialah badan amal di UK yang menumpukan pada kanak-kanak dan remaja.

IFF, yang kini adalah acara global pertama kali diadakan di London pada Julai 2011. - BERNAMA

Artikel Lain