27 Penerbangan Tertunda Gangguan Bekalan Elektrik Di Jakarta - Dunia | mStar

27 Penerbangan Tertunda Gangguan Bekalan Elektrik Di Jakarta

JAKARTA: Gangguan bekalan elektrik lebih dua jam di beberapa kawasan di kota raya Jakarta pada Rabu menyebabkan sistem pengangkutan awam terjejas dan lalu lintas mengalami kesesakan yang panjang.

Gangguan itu antara lain mengakibatkan syarikat penerbangan nasional Garuda Indonesia terpaksa menunda 27 penerbangannya kerana bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Cengkareng, terputus selama dua jam.

Naib Presiden PT Garuda Indonesia Pujobroto dipetik akhbar harian Kompas, Khamis sebagai berkata jadual penerbangan mengalami kelewatan antara 15 dan 60 minit kerana sejumlah kerja di beberapa bahagian terpaksa dilakukan secara manual.

Gangguan bekalan elektrik turut mengakibatkan perkhidmatan kereta api elektrik di kota raya ini terhenti dan menyebabkan para penumpang terkandas di perhentian kereta api.

Pengurus Perhubungan Korporat syarikat PT Kereta Api Indonesia (PT KAI) daerah operasi I, Mateta Rijalulhaq berkata perjalanan KRL (Kereta Rel Elektrik) di lintasan Serpong dan Tangerang terhenti kerana bekalan elektrik terputus.

Gangguan itu juga menyebabkan sejumlah lampu isyarat di Jakarta Pusat terpadam dan menimbulkan kesesakan lalu lintas yang panjang selama lebih dua jam.

Masalah gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada kerosakan di penyalur induk di Depok berlaku dari pukul 1.26 tengah hari hingga pukul 3.10 petang, Rabu.

Jurucakap syarikat PT Perusahaan Elektrik Negara (PLN) Bambang Dwiyanto berkata gangguan itu menyebabkan sejumlah kawasan terputus bekalan elektrik termasuk Bintaro, Depok, Casablanca, Karet, Cengkareng, Grogol, Kebon Sirih, Duri dan Budi Kemuliaan.

"Sejak pukul 3 petang, belakan elektrik mulai dinormalkan dengan kerja pemulihan di tempat penyalur utama Gandul dan stesen janakuasa Muara Karang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Kabinet akan dirombak