suria

UK Mahu Jalin Hubungan Rapat Dengan Negara-Negara Asia

SINGAPURA: United Kingdom telah mengambil langkah penting untuk menjalin kerjasama rapat dengan negara-negara seluruh Asia, kedua-dua dalam bidang ekonomi dan politik.

Setiausaha Pertama Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel, William Hague hari ini berkata yang UK kini memandang ke arah Timur, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Kami telah bersedia untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat dengan seluruh negara Asia dalam tempoh 20 tahun ini, langkah yang betul-betul baru berbanding yang sudah-sudah," kata beliau dalam ceramahnya di Siri Ceramah IISS Fullerton kedua di sini, Khamis.

Beliau maklum yang kemunculan Asia amat baik untuk dunia, membawa keluar jutaan rakyat daripada lembah kemiskinan, menyediakan peluang baharu untuk pelaburan dan perdagangan dunia, dan membantu melindungi daripada ancaman keselamatan global.

"Kami mahu UK menjadi rakan utama dengan negara-negara Asia dalam membangunkan masa depan yang makmur, dalam perdagangan dan perniagaan, kebudayaan, pendidikan dan pembangunan dan dalam dasar asing dan keselamatan global.

Hague berkata kerajaannya akan melabur masa dan usaha untuk memajukan hubungan politik dan memahami secara mendalam bagi menyokong wawasan ini dalam tempoh jangka panjang.

Beliau berkata yang Britain juga telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan dan dalam beberapa hal menggandakan perdagangan dua halanya dengan China, India, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan dalam tempoh lima tahun, sebagai sebahagian daripada sasaran untuk menggandakan eksport Britain kepada £1 trilion setahun menjelang 2020.

"Kami berharap untuk membuka lapan jawatan diplomatik Britain baharu di Asia menjelang 2015, dan pada masa ini kami sedang membincangkan perkara ini dengan kerajaan-kerajaan terbabit.

"Secara berasingan, menjelang 2015, kami juga akan menghantar sekitar 60 kakitangan tambahan ke China, 30 ke India dan 50 lagi ke keseluruhan rangkaian Asia di Indonesia,Vietnam, Malaysia, Filipina, Thailand, Burma, Singapura, Kemboja, Brunei, Korea Utara dan Selatan dan Mongolia.

"Kami juga bercadang membuka semula Kedutaan Britain di Laos yang telah ditutup pada tahun 1985," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain