Menteri Kesihatan Singapura Ketuai Misi Ke China - Dunia | mStar

Menteri Kesihatan Singapura Ketuai Misi Ke China

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Singapura Gan Kim Yong, akan mengetuai misi perniagaan yang terdiri daripada 65 syarikat republik itu ke Dalian (termasuk Pulau Changxing), Shenyang dan Yingkou di Wilayah Liaoning, China dari 22 hingga 26 April, 2012.

Dalam satu kenyataan hari ini, International Enterprise (IE) Singapura, agensi kerajaan yang memacu ekonomi luar Singapura, berkata Gan diiringi Stanley Loh, Duta Besar Singapura ke China, pegawai kanan IE Singapura dan Kementerian Perdagangan dan Industri serta Teo Siong Seng, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri China (SCCCI).

"Misi itu yang diselaraskan oleh IE Singapore dan SCCCI, akan memperkukuh kefahaman syarikat terhadap Wilayah Ekonomi Shenyang dan Lingkaran Ekonomi Pantai Liaoning," katanya.

IE berkata misi itu akan melibatkan syarikat daripada perkhidmatan penyelesaian bandar, pengangkutan dan logistik, alam sekitar dan perkhidmatan perniagaan.

Gan dan Gabenor Liaoning Chen Zhenggao ialah pengerusi bersama Majlis Perdagangan dan Ekonomi Singapura-Liaoning (SLETC). IE Singapore ialah sekretariat majlis itu di Singapura.

Dalian dan Shenyang merancang untuk meluaskan kawasan perbandaran masing-masing dengan membangunkan kawasan dan daerah baharu seperti kawasan baharu Jinzhou dan Daerah Ganjingzi di Dalian, dan kawasan baharu Shenbei di Shenyang.

Anggota delegasi akan melawat tiga tapak bagi memahami potensi usaha sama perniagaan berpotensi itu.

Program lain termasuk lawatan ke Changxing Island 1 (di Dalian) dan Yingkou Port Bonded Logistics Centre.

Changxing Island dan Yingkou ialah sebahagian daripada strategi lingkaran ekonomi Liaoning Island.

Pada Julai tahun lepas, majlis negeri itu meluluskan pembukaan Pelabuhan Changxing. Pada 26 April, Gan akan merasmikan pembukaan projek kitar semula dan baik pulih kapal Pacific International Lines di Changxing Island.

Pada 2011, perdagangan dua hala antara Singapura dan Liaoning mencecah US$2.4 bilion, menjadikan Singapura sebagai rakan dagang keenam terbesar Liaoning.

Mengenai pelaburan, pelaburan langsung asing sebenar Singapura di Liaoning berjumlah US$2.79 bilion, menerusi 865 projek hingga akhir 2011.

Singapura ialah pelabur asing keempat terbesar Liaoning pada 2011. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain