suria

Rusuhan Penjara Brazil, 131 Tebusan Dibebaskan

RIO DE JANEIRO: Rusuhan penjara di negeri utara Brazil, Sergipe berakhir semalam apabila banduan membebaskan semua 131 tebusan selepas pihak berkuasa mengadakan siri rundingan yang panjang.

Kira-kira 400 banduan di penjara Advogado Jacinto Filho de Arcaju merusuh Ahad lalu ketika penjara mengadakan sesi penerimaan pelawat.

Rusuhan tercetus selepas banduan mengadu mereka selama ini menerima layanan buruk daripada pengawal serta makanan yang tidak sempurna.

Polis berkata, banduan bersenjatakan pisau dan tiga senapang yang dipercayai dicuri dari bilik pengawal penjara.

Perusuh kemudian bertindak membakar tilam dan menuntut makanan yang lebih baik.

Tebusan berkenaan terdiri ahli keluarga banduan yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak yang terperangkap ketika rusuhan tercetus.

“Selepas 24 jam berunding, akhirnya ia mencapai persetujuan," kata Pejabat Keselamatan Sergipe dalam satu kenyataan. - AFP

Artikel Lain