suria

Jumlah Kematian Gempa Bumi Aceh Meningkat Kepada 10 Orang

JAKARTA: Jumlah kematian dalam kejadian gempa bumi kuat berukuran 8.5 pada skala Richter di Aceh, Rabu meningkat menjadi 10 orang manakala 12 orang lagi cedera termasuk empat mangsa parah.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyatakan mangsa yang terkorban berumur antara 62 dan 88 tahun.

Enam orang maut di daerah Aceh Besar dan masing-masing seorang dari daerah Padang Pariaman, Banda Aceh, Aceh Barat dan Lhoksemauwe.

Daripada empat mangsa yang cedera parah, dua orang dari daerah Aceh Besar dirawat di Hospital Banda Aceh, satu lagi dari daerah Aceh Selatan dirawat di Hospital Yullidin Away, Tapaktuan manakala seorang kanak-kanak dari daerah Aceh Singkil kini dalam keadaan kritikal setelah ditimpa pokok semasa kejadian gempa bumi.

"Semua mangsa yang cedera ringan sudah kembali ke rumah masing-masing," kata Ketua Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB Sutopo Purwo Nugroho, di Jakarta. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain