suria

Tujuh Penumpang Bas Cedera Ditembak Ketika Pergi Ke Pesta Songkran

BANGKOK: Seramai tujuh penumpang dalam perjalanan untuk menyambut Pesta Songkran cedera apabila bas yang mereka naiki ditembak oleh dua pemboceng motosikal bersenjatakan pistol di Pattani, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pattani, Mejar Jeneral (Polis) Pichet Pittisetchapan berkata, dua pembonceng lelaki melepaskan tembakan ke arah bas yang sedang dalam perjalanan di Saiburi, Pattani, pada pukul 10.30 pagi.

Pembantu pemandu, Muhamad Syukree berkata, beliau terpaksa tunduk dalam bas sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan.

Katanya, pemandu bas berkenaan tidak berani untuk menghentikan kenderaan walaupun beberapa penumpang meraung kesakitan.

"Pemandu meneruskan perjalanan sehingga sampai ke pusat pemeriksaan keselamatan di Manangdalam Saiburi bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Bas tersebut membawa 50 penumpang dalam perjalanan dari Pattani ke Narathiwat bagi menyambut Pesta Songkran, iaitu perayaan menyambut Tahun Baru mengikut kalendar Thai.

Pesta Songkran dikenali dengan jolokan pesta mandi di mana mereka akan saling menyimbah air di antara mereka.

Pichet percaya kejadian itu bermotifkan balas dendam berikutan dua penduduk ditembak mati di hadapan sebuah masjid di Pattani pada Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain