suria

Thailand Pastikan Keselamatan Sempena Festival Songkran

BANGKOK: Insiden serangan bom di Bangkok, Yala dan Hat Yai, ditambah pula dengan ancaman tsunami masih segar di minda rakyat, kerajaan Thailand telah mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan orang awam dan pelancong sepanjang festival Songkran selama empat hari bermula esok.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra hari ini berkata keadaan keselamatan pada keseluruhannya adalah normal dan memberikan jaminan kerajaan akan memantau keadaan bagi memastikan festival itu bebas tragedi. "Semua kementerian telah diletakkan dalam keadaan siap siaga," katanya di sini, Khamis.

Jutaan orang termasuk pelancong dijangka membanjiri bandar raya utama di seluruh negara ini untuk menyambut festival menyiram air itu sepanjang empat hari cuti umum berkenaan.

Songkran disambut sempena tahun baru tradisional Thailand dan merupakan acara penting dalam kalendar pelancongan negara itu.

Sementara itu, polis telah menyediakan pasukan pemusnah bom untuk menghadapi sebarang kemungkinan semasa festival itu dan mengadakan sekatan jalan ke bandar raya-bandar raya utama dengan turut menjalankan pemeriksaan ke atas orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Negara Chief Pol Mej Jen Wichai Sangpraphai berkata laporan risikan menunjukkan puak pemberontak tidak akan melancarkan serangan sepanjang sambutan itu.

Di Bangkok, sambutan Songkran akan bertumpu di Khao San, Silom, Royal City Avenue dan Suan Luang.

Tiga kejadian letupan bom di Bangkok pada 14 Feb mencederakan lima orang termasuk pengebom itu sendiri manakala serangan di Yala dan Hat Yai menyebabkan 14 orang maut dan lebih 400 yang lain cedera.

Dua rakyat Malaysia adalah antara yang terbunuh dan 27 lagi cedera dalam kejadian di Hotel Lee Garden Plaza di Hat Yai.

Negara ini dikejutkan dengan amaran tsunami semalam ekoran gempa bumi berukuran 8.5 pada skala Richter di Aceh, Indonesia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain