suria

Setiausaha Agung Asean, Pusat AHA Pantau Rapi Kejadian Gempa Bumi Di Aceh

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 8.5 pada skala Richter yang berlaku di 510 km barat daya daerah Simeuleu, Aceh semalam turut dipantau rapi oleh Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana Asean (Pusat AHA.)

Pusat AHA yang berpangkalan di Jakarta itu juga sentiasa berhubung dengan semua 10 negara Asean dan rakan-rakannya.

Selepas beberapa jam memantau, Dr Surin, yang juga Pembantu Penyelaras Bantuan Kemanusiaan, mengumumkan pada pukul 8 malam Rabu bahawa "Amaran tsunami di Lautan Hindi telah ditarik balik", kata sekretariat Asean dalam kenyataan, Khamis.

Gegaran gempa bumi itu dirasai di Banda Aceh, Padang, Bengkulu dan Lampung serta beberapa negara jiran seperti Malaysia, Myanmar, Thailand dan di Maldives.

Pemantauan tsunami berakhir pada pukul 7.43 petang sebagaimana yang dikeluarkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia untuk negara-negara bermula dari Indonesia hingga ke Thailand, India, Australia, Seychelles, Somalia, Oman dan Afrika Selatan seperti yang ditunjukkan oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC).

Setakat ini, tiada laporan berlaku kecederaan atau kerosakan serius.

Bancian jumlah kerosakan di kawasan sekitar masih dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

Berikutan gempa bumi kuat itu, Malaysia dan Thailand turut mengeluarkan amaran tsunami menasihatkan rakyat mereka untuk menjauhi kawasan pantai.

Malaysia yang turut berhubung rapat dengan Pusat AHA, bersedia untuk menggerakkan bantuan manakala pasukan mencari dan menyelamat telah bersedia di Jakarta.

"Asean kini lebih bersedia dalam berhadapan dengan bencana berbanding tahun 2004 ketika dilanda tsunami besar yang mengorbankan 240,000 orang.

"Semua peranti berfungsi dengan baik, dan semua ibu negara dalam keadaan berjaga-jaga," kata Dr Surin.

Pusat AHA dilancar secara rasmi pada Sidang Kemuncak Asean ke-19 pada November 2011. Ia bertanggungjawab dalam membantu menyelaraskan segala bentuk tindakan dalam menangani malapetaka di kalangan negara anggota. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain