suria

Setiausaha Agung Asean Gesa Korea Utara Batal Hasrat Lancar Satelit

JAKARTA: Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan, pada Khamis menggesa Korea Utara supaya prihatin terhadap kebimbangan masyarakat antarabangsa berhubung rancangannya untuk melancarkan satelit. "Sebagai anggota Forum Rantau Asean (ARF), Korea Utara mesti memberi perhatian terhadap kebimbangan anggota lain yang merasakan kestabilan mereka terjejas oleh langkah seumpama itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Asean.

Menyokong gesaan yang dibuat pemimpin-pemimpin antarabangsa supaya Korea Selatan membatalkan hasratnya itu, Surin berkata: "Usaha perlu dibuat bagi mengelakkan kemungkinan berlaku sebarang provokasi dan ketegangan konflik. Kami dengan itu berharap pembatalan dapat dilakukan."

Pengumuman Korea Selatan pada bulan lepas mengenai hasratnya untuk melancarkan satelit ke angkasa telah mencetuskan kebimbangan di kalangan negara-negara jiran di rantau Asia-Pasifik. Sesetengah negara melihat pelancaran satelit itu sebagai usaha untuk menyembunyikan ujian nuklear.

Korea Selatan dan Jepun telah menggesa Korea Utara supaya membatalkan hasrat itu manakala China yang melahirkan kebimbangan telah menggesa semua pihak bertenang dan melaksanakan sekatan.

Khamis ini (12 April), bermulanya jadual lima hari bagi Pyongyang melancarkan satelitnya ke orbit.

Filipina dan Korea Selatan telah mengeluarkan arahan kepada pesawat komersil mereka supaya mengubah laluan pada beberapa hari akan datang supaya tidak melalui laluan yang dicadangkan sebagai laluan satelit itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain