suria

Canberra Disaran Bantu Syarikat Australia Bersaing Di Asia

MELBOURNE: Menteri Perdagangan Australia, Dr Craig Emerson menggesa kerajaan negara itu supaya melakukan segala yang mungkin untuk mengurangkan kos bagi perniagaan Australia menjalankan dagangan dengan Asia kerana kos buruh yang tinggi serta produktiviti yang lemah telah menjejaskannya.

Semasa memberi respons terhadap kertas khas yang akan dikeluarkan pada Selasa oleh Majlis Perniagaan Australia, Dr Emerson berkata kerajaan perlu melihat untuk mengurangkan "peraturan-peraturan yang tidak perlu atau melampau" untuk perniagaan bagi menyediakan peluang terbaik mungkin bagi kejayaan di Asia.

"Kita menyokong pandangan bahawa kita perlu melakukan semua yang kita mampu untuk meningkatkan daya saing perniagaan Australia dan perkongsian dengan perniagaan itu sendiri.

"Jika kita boleh mengeluarkan peraturan-peraturan yang tidak perlu atau melampau, itu sesungguhnya cara untuk meningkat daya saing. Begitu juga pelaburan yang kita pertimbang dalam kemahiran di negara ini.

"Oleh kerana masa depan kita sebagai sebuah ekonomi berkemahiran tinggi, ekonomi berpendapatan tinggi, bukan kemahiran yang rendah, ekonomi berpendapatan rendah dan itulah bagaimana orang Australia mahu," kata Dr Emerson kepada ABC News 24.

Komen beliau itu semasa beliau bersedia untuk bertemu Menteri Perdagangan China Chen Deming dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc secara berasingan pada Selasa.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Selasa, Majlis Perniagaan Australia (BCA) memberi amaran bahawa China, India dan ekonomi Asia yang lain telah menjauhi perniagaan Australia dan meninjau pembekal dari dalam Asia untuk import seperti sumber dan tenaga kerana kos menjalankan perniagaan yang tinggi di Australia.

BCA berkata industri Australia yang bersaing di Asia menghadapi cabaran utama memandangkan produktiviti tidak berkembang selama bertahun-tahun.

"China, India dan lain-lain pengimport sumber dan tenaga mencari pembekal alternatif yang akan memberi tekanan ke atas Australia.

"Perniagaan di Amerika Utara dan Selatan, Eropah dan Afrika mahu mendapatkan pasaran baru di Asia. Pada masa yang sama, industri kita menghadapi persaingan baru dari dalam Asia.

"Kedua-dua cabaran berkenaan secara langsung berkait dengan daya saing industri Australia. Jika kita tidak cukup kompetitif, kita mengambil risiko kehilangan peluang dan kedudukan di pasaran sedia ada, " kata laporan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain