suria

Tak Diterima Jadi Calon Presiden Mesir Kerana Ibu Warga Amerika...

KAHERAH: Ini ada satu cerita yang agak menarik dari Mesir - beribu penyokong calon jawatan presiden dari Parti Salafist telah berarak memprotes tindakan pihak berkuasa pilihan raya negara itu yang mempertikaikan pencalonan wakil mereka Hazem Abu Ismail kerana ibunya bukan warga negara Mesir.

Di bawah undang-undang pilihan raya Mesir, semua calon untuk jawatan presiden, ahli keluarga mereka dan isteri mereka haruslah memegang hanya kerakyatan negara itu untuk melayakkan mereka bertanding.

Undang-undang ini telah menyebabkan para penyokong Hazem berarak ke Dataran Tahrir yang merupakan simbol bermulanya pendemokrasian di Mesir apabila Presiden Hosni Mubarak ditumbangkan ekoran demonstrasi beramai-ramai di dataran berkenaan. Hazem Abu Ismail melancarkan kempennya pada 30 Mac lalu.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya Mesir, Hatem Begato berkata, pihaknya telah menerima maklumat bahawa ibu Hazem menggunakan pasport Amerika untuk berulang alik dari Mesir ke Amerika sebelum kematiannya.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya akan mula menyemak dokumen pencalonan pada 12-13 April ini.

Mereka yang ditolak pencalonan atas sebab-sebab teknikal diberi peluang 48 jam untuk membuat rayuan sebelum senarai akhir calon diumumkan pada 26 April.

Hazem Abu Ismail dikenali sebagai seorang aktivis yang berpegang keras kepada ajaran Islam dan merupakan seorang tokoh yang dikenali ramai di sini.

Pilihan raya presiden akan berlangsung pada Mei depan yang akan menyaksikan berakhirnya pemerintahan sementara pihak tentera sejak Mubarak digulingkan.

Hazem Abu Ismail dijangka akan bersaing dengan seorang lagi calon popular moderat dari kalangan wakil Ikhwan Muslimin iaitu Khairat El-Shater dan bekas menteri luar, Amr Mussa yang secara tidak rasmi mewakili regim lama.

Sejak Mubarak digulingkan Ikhwan Muslimin telah memenangi pilihan raya parlimen negara itu manakala Salafist menguasai suku lagi kerusi.

Artikel Lain