suria

Pasukan Ekspedisi Antartika Rusia-Ukraine Dilapor Hilang

MOSCOW: Sepasukan kumpulan ekspedisi lapan orang warga Rusia-Ukraine yang belayar di Antartika sejak September tahun lalu telah dilaporkan hilang pada Jumaat.

Jurucakap kepada kumpulan ekspedisi itu Anna Subbotina berkata, kali terakhir mereka membuat hubungan komunikasi dengannya ialah pada malam Isnin lalu.

Mereka belayar merentasi Antartika menggunakan sebuah kapal berukuran 29 meter panjang bernama Scorpius.

Menurut laman web ekspedisi itu, mereka berhadapan dengan cabaran angin kencang yang kuat ketika dalam perjalanan menuju ke Pulau Deception - iaitu satu lokasi yang popular kerana gunung berapinya.

Pulau Deception adalah sebahagian daripada Gugusan Kepulauan Shetlands Selatan yang popular di Antartika.

Kapal yang dikemudikan oleh pasukan ekspedisi itu sebelum ini baru sahaja berlabuh di Stesen Penyelidikan Akademik Vernadsky milik Ukraine dan menurut jadual akan menuju pula ke Stesen Bellingshausen milik Rusia.

Menurut Anna, kapten kapal itu memaklumkan kepadanya pada Isnin bahawa Scorpius telah berjaya belayar sejauh 50 kilometer meninggalkan stesen penyelidikan Ukraine itu.

Subbotina khuatir pasukan ekspedisi itu berlanggar dengan bongkah ais yang terapung.

Artikel Lain