suria

Asean Gesa Sekatan Terhadap Myanmar Ditarik Balik

JAKARTA: Berikutan pilihan raya kecil yang berlangsung secara adil dan teratur di Myanmar pada 1 April, Asean menggesa agar sekatan yang dikenakan terhadap negara itu ditarik balik.

Menurut Sekretariat Asean dalam satu kenyataan, pada Selasa, gesaan itu dibuat oleh Kemboja selaku Pengerusi Asean.

"Kami menggesa masyarakat antarabangsa supaya menimbang untuk menarik balik sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Myanmar agar rakyat negara itu mempunyai lebih banyak peluang untuk mencapai impian mereka menikmati keamanan, perdamaian nasional, demokrasi dan pembangunan negara," kata Timbalan Perdana Menteri Kemboja Hor Namhong.

Hor, yang juga Menteri Luar Kemboja, berkata proses pilihan raya itu merupakan langkah positif ke arah pendemokrasian Myanmar.

Pilihan raya kecil bersejarah di negara itu disaksikan beratus-ratus pemerhati antarabangsa serta wartawan dari seluruh dunia.

Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan berkata pihaknya gembira dengan cara pilihan raya kecil itu dijalankan.

Artikel Berikut

Artikel Lain