suria

Sekretariat Asean Puji Persediaan Myanmar Untuk Adakan Pilihan Raya Kecil

JAKARTA: Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan menyambut baik inisiatif Myanmar yang menjemput negara jiran dalam Asean, rakan dialog dan pertubuhan antarabangsa sebagai pemerhati pilihan raya kecil negara itu, yang dijadual pada 1 April ini.

"Kami gembira berada di sini dan memberi sokongan kepada proses politik yang sangat penting ini. Satu proses politik penting, yang kami harap akan terus menyumbang kepada perdamaian negara.

"Kami berasa terdorong oleh persiapan yang kami lihat dan usaha yang dijalankan untuk memajukan serta memudahkan langkah ke arah demokrasi ini," kata Dr Surin yang dipetik oleh Sekretariat Asean dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sekretariat Asean menerima jemputan pada 20 Mac untuk memerhati pilihan raya kecil Myanmar itu.

Jemputan itu tiba hanya sebulan selepas Dr Surin mengunjungi Presiden Myanmar Thein Sein dan mencadangkan supaya pilihan raya itu dibuka kepada pemerhati dan media Asean.

Sebagai tambahan kepada pemerhati dan media serta Sekretariat Asean, kerajaan Myanmar turut menjemput rakan dialog, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berserta media masing-masing.

Sementara itu di Yangon, bangunan lama Kementerian Hal Ehwal Luar Myanmar sibuk dengan aktiviti seawal Khamis pagi ketika pemerhati pilihan raya, pegawai perhubungan, wartawan dan jurukamera mendaftarkan diri serta mengambil pas.

Keadaan kembali tenteram sejurus sebelum Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin tiba untuk memberi taklimat kepada mereka.

"Pemerhati, dan anggota media, anda bebas untuk melakukan perjalanan tanpa halangan," menteri itu dipetik sebagai berkata dalam kenyataan berasingan pada Jumaat.

Myanmar ingin menunjukkan kepada dunia bahawa negara itu bersungguh-sungguh dan terbuka kepada proses pemantauan, kata Danny Lee, pengarah Pembangunan Hal Ehwal Komuniti, Sekretariat Asean.

Lebih 150 pemerhati dan beratus-ratus petugas media dijemput sebagai pemerhati pilihan raya kecil itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain