suria

Sidang Kemuncak BRICS Beri Tumpuan Bank Pembangunan Baharu

NEW DELHI: Negara-negara BRICS bersetuju untuk mengkaji dengan lebih terperinci cadangan menubuhkan sebuah Bank Pembangunan Selatan-Selatan yang diterajui BRICS, serta dibiayai dan diuruskan oleh BRICS dan negara-negara membangun lain, kata Perdana Menteri India, Manmohan Singh, Khamis.

BRICS terdiri daripada lima ekonomi utama sedang berkembang di dunia iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Beliau berkata, untuk memulihkan permintaan dan pertumbuhan global, negara-negara membangun memerlukan kemudahan mendapatkan modal, khususnya bagi pembangunan prasarana.

"Kita mesti selesaikan isu penting iaitu memperluas asas modal Bank Dunia dan Bank-Bank Pembangunan Pelbagai Hala lain untuk membolehkan institusi-institusi ini memainkan peranan wajar masing-masing dalam pembangunan prasarana pembiayaan," tegasnya dalam ucapannya pada sesi plenari Sidang Kemuncak BRICS Keempat di sini.

Presiden China, Hu Jintao, berada di sini untuk menyertai sidang kemuncak itu.

Manmohan juga berkata, negara-negara BRICS harus juga bekerjasama rapat untuk menggerakkan Pusingan Pembangunan Doha, mencari penyelesaian inovatif untuk mengatasi halangan-halangan yang menggendalakan rundingan perdagangan pelbagai hala itu.

Sebagai ekonomi-ekonomi yang besar dan pelbagai, kelima-lima negara itu haruslah melakukan usaha khusus untuk mencari jalan memanfaatkan unsur-unsur saling melengkapi dalam kalangan BRICS, katanya.

"Kita harus menggalakkan interaksi dalam kalangan komuniti perniagaan kita. Isu-isu seperti visa perniagaan yang lebih mudah mestilah diberikan keutamaan. Sebagai negara-negara perdagangan yang besar, BRICS mempunyai kepentingan besar dalam usaha menghapuskan halangan kepada pengaliran perdagangan dan pelaburan serta mengelak langkah-langkah perlindungan," kata beliau.

BRICS memiliki 26 peratus daripada keseluruhan tanah daratan dunia dan 42 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia, termasuk India dan China, dua daripada negara yang paling ramai penduduknya.

Kumpulan ini menyumbang 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia (US$18.486 trilion) dan perkadaran ini semakin meningkat dengan pesat.

Goldman Sachs meramalkan:

"BRIC secara kolektif boleh menjadi lebih besar daripada Kumpulan Tujuh (kuasa perindustrian terbesar) menjelang 2035."

Perdagangan sesama negara BRICS berkembang pada kadar purata 28 peratus setahun dan pada masa ini berjumlah kira-kira US$230 bilion. - BERNAMA

Artikel Lain