suria

Latihan Di Hospital Indonesia Bantu Dua Doktor Malaysia Bergelar Lulusan Terbaik

JAKARTA: Kemahiran yang diperoleh dalam latihan klinikal di pelbagai jabatan di hospital Indonesia dengan bilangan kes yang banyak merupakan pengalaman mencabar bagi dua pelajar Malaysia sehingga bergelar doktor terbaik kumpulan ke-84 Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida) di sini.

Bagi Dr Khairunnisah Kharimah Shafie, 27 dan Dr Siti Maisarah Shekh Jaafar, 26, pengalaman itulah yang membantu mereka untuk meningkatkan prestasi sehingga bergelar doktor perubatan secara rasmi pada Khamis.

Dr Khairunnisa mendapat keputusan CGPA 3.35 manakala Dr Siti Maisarah 3.34.

"InsyaAllah, kemahiran dan pengalaman ini akan kami manfaatkan dengan sebaiknya bila berkhidmat sebagai doktor di tanah air.

"Kami optimis dapat melaksanakan tugas sebagaimana harapan negara kerana kes-kes perubatan dan kesihatan yang dipelajari dan ditangani sepanjang latihan klinikal di sini lebih mirip kepada kes-kes yang ada di Malaysia," kata Dr Khairunnissa ketika ditemui selepas upacara pelantikan dan angkat sumpah sebagai doktor Kumpulan 84 dan 85 di Kampus Ukrida di sini.

Dr Khairunnissa, berasal dari Alor Setar, berkata sungguhpun ada pihak di Malaysia memandang rendah kebolehan dan kemampuan doktor-doktor yang dilatih di Indonesia, itu bukan suatu masalah bagi beliau.

"Yang penting kami akan buktikan bahawa kami juga memiliki kemahiran dan pengalaman setanding doktor-doktor yang dilatih di tempat lain bila berkhidmat di Malaysia nanti," katanya.

Dr Siti Maisarah, dari Terengganu, berkata latihan klinikal yang dilalui di beberapa pusat kesihatan kawasan pedalaman merupakan pengalaman yang amat berharga bagi beliau.

"Saya bersyukur dapat mengatasi pelbagai cabaran dan kesulitan semasa menjalani latihan ini dan semua pengalaman ini telah menjadikan saya lebih mahir sebagai seorang doktor," katanya.

Dr Khairunnissa, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam, dan Dr Siti Maisarah, pelajar tajaan Mara, berkongsi cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kepakaran kulit.

Mereka merupakan antara 22 lulusan dari Malaysia yang dilantik ke jawatan doktor bersama 54 lulusan lain dari Fakulti Perubatan Ukrida pada Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain