suria

RP17 Trilion Diperuntukan Sebagai Pampasan Kepada Masyarakat

JAKARTA: Dewan Perwakilan Rakyat dan Kerajaan Indonesia pada malam Selasa sepakat memperuntukkan Rp17 trilion sebagai pampasan langsung kepada masyarakat berikutan rancangan kerajaan menaikkan harga minyak bersubsidi mulai bulan depan.

Selain peruntukan itu, yang dinamakan bantuan langsung sementara masyarakat, sejumlah Rp8 trilion lagi diperuntukkan sebagai pampasan untuk pembangunan infrastruktur desa.

Kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat jawatankuasa kerja Perbelanjaan Pusat Badan Anggaran Dewan Perwakilan Rakyat dan Kerajaan, akhbar harian Kompas melaporkan Rabu.

Pampasan kepada masyarakat itu akan dibayar setiap bulan selama enam bulan sehingga mencapai jumlah Rp17 trilion.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan membayar bantuan langsung sementara masyarakat sebanyak Rp150,000 sebulan kepada 18.5 juta isi rumah selama sembilan bulan sebagai pampasan berikutan kenaikan harga minyak yang dicadangkan itu.

Cadangan asal kerajaan itu akan membabitkan perbelanjaan berjumlah Rp25.56 trilion, namun dalam mesyuarat jawatankuasa kerja malam tadi sebilangan anggota Badan Anggaran berpendapat tempoh sembilan bulan itu terlalu lama dan cukup hanya untuk tempoh enam bulan sehingga peruntukan yang diperlukan menjadi Rp17 trilion sahaja.

Esok persidangan Dewan Perwakilan Rakyat dijadual membuat membuat keputusan sama ada meluluskan atau sebaliknya rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak sebanyak Rp1,500 mulai bulan depan.

Cadangan kerajaan itu, yang dibuat berikutan kenaikan harga minyak di pasaran dunia, telah menimbulkan bantahan daripada pelbagai kumpulan masyarakat, yang mengadakan demonstrasi besar-besaran sejak Selasa.

Secara umumnya demonstrasi berlangsung aman, namun ada beberapa insiden pergaduhan berlaku antara penunjuk perasaan dengan pihak polis apabila peserta demonstrasi melempar batu dan bom molotov sehingga memaksa polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan peserta.

Demonstrasi di Jakarta dan sejumlah bandar di seluruh negara itu diteruskan pada Rabu dan dijangka akan lebih besar esok, ketika Dewan Perwakilan Rakyat bersidang untuk membuat keputusan mengenainya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain