suria

Pilihan Raya Myanmar: Malaysia Hantar Pemerhati

NAYPYITAW: Malaysia telah memberikan komitmennya untuk menghantar pemerhatinya bagi pilihan raya kecil Myanmar pada 1 April.

"Malaysia sudah pasti akan menghantar pasukan kerana kita telah diminta berbuat demikian," kata Duta Besar Malaysia ke Myanmar Dr Ahmad Faisal Mohamed kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Myanmar pada Selasa.

Beliau berkata Myanmar telah menjemput negara anggota Asean termasuk Malaysia dan juga negara lain untuk menjadi pemerhati pada pilihan raya kecil itu. Senarai pemerhati kini sedang diusahakan, katanya.

Pilihan raya kecil April ini telah menarik banyak perhatian dan Myanmar menggesa negara-negara berkaitan untuk menarik balik sekatan dan membenarkan negara itu meneruskan program pembangunannya dan meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya.

Sebanyak 48 kerusi Parlimen kosong apabila bekas anggotanya dilantik mengisi jawatan kabinet dan jawatan eksekutif yang lain dalam kerajaan kesatuan.

Bekas tahanan politik Aung San Suu Kyi, pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini dalam satu kawasan berdekatan Yangon. NLD juga akan meletakkan calonnya dalam kawasan lain yang dikosongkan.

Myanmar bergerak pantas ke arah demokrasi yang lebih luas di bawah Presiden U Thein Sein selepas enam dekad di bawah pemerintahan diktator tentera. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain