suria

Suu Kyi Semakin Pulih

YANGON: Ketua pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi dilaporkan semakin sembuh selepas mengadu kurang sihat sepanjang kempennya.

Namun, beliau dinasihatkan untuk berehat secukupnya menjelang pilihan raya kecil hujung minggu ini, kata partinya pada Isnin.

Suu Kyi yang bertanding kerusi parlimen buat pertama kalinya pada Ahad ini, terpaksa membatalkan kempennya minggu ini selepas mengalami masalah kesihatan, Sabtu lalu.

Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) berkata, ikon pro-demokrasi itu kelihatan terlalu letih selepas menghabiskan masa selama beberapa jam berkempen dalam cuaca panas.

"Walaupun tahap kesihatannya menunjukkan peningkatan, doktor menasihatkan beliau supaya berehat selama empat atau lima hari," katanya.

Doktor peribadinya, Tin Myo Win berkata, Suu Kyi terlalu penat dan mengalami muntah-muntah dan tekanan darah rendah pada Sabtu lalu.

NLD mencatat kemenangan besar pada pilihan raya 1990 ketika Suu Kyi berada dalam tahanan di rumahnya.

Namun, junta tentera Myanmar tidak mengiktiraf kemenangan itu dan mengarahkan Suu Kyi ditahan selama dua dekad.

Artikel Sebelum

Suu Kyi Semakin Pulih

Artikel Berikut

Artikel Lain