suria

Malaysia, Brunei Tandatangan MoU Ukur Sempadan Bersama

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei Darussalam pada Selasa menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi pembatasan bersama dan kerja ukur sempadan tanah di antara kedua-dua negara.

Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman manakala Brunei diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negara itu, Datuk Paduka Hisham Mohd Hanifah.

"Penandatanganan MoU itu berlangsung sempena Mesyuarat Malaysia-Brunei Kali Kelapan mengenai pelaksanaan Pertukaran Surat 2009," demikian menurut kenyataan Wisma Putra di sini, Selasa.

Kenyataan itu menyebut MoU berkenaan memperuntukkan terma rujukan dan modaliti bagi pembatasan sempadan darat di antara kedua-dua negara.

Kedua-dua negara bersetuju melakukan urusan berkenaan berdasarkan kepada lima perjanjian sempadan darat ditandatangani pada 4 Februari 1920, 25 Ogos 1931, 31 Oktober 1931, 24 Februari 1933 dan 4 November 1939.

"Di kawasan-kawasan di mana tiada perjanjian sempadan darat diwujudkan lagi, kedua-dua negara hendaklah berunding berasaskan 'watershed principle' untuk menentukan sempadan.

"Kerja-kerja ini menandakan satu lagi kemajuan bagi Malaysia dan Brunei ke arah hubungan kerjasama dua hala dan perkongsian kepentingan bersama yang kukuh dan komprehensif," menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Artikel Lain