suria

Indonesia Kini Ada Dua Persatuan Bola Sepak

JAKARTA: Indonesia kini mempunyai dua Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) apabila Jawatankuasa Penyelamat Bola Sepak Indonesia (KPSI) dengan rasmi membentuk kepimpinan baru PSSI melalui Kongres Luar Biasa di Jakarta, Ahad.

PSSI yang dibentuk KPSI ini dipimpin oleh La Nyalla Mattalitti, yang terpilih sebagai Ketua Umum dalam kongres luar biasa itu di Hotel Mercure Jakarta.

Mattalitti akan memangku jawatan ketua umum PSSI bagi tempoh 2012-2016.

Pada masa sama, masih wujud satu barisan kepimpinan PSSI diketuai Djohar Arifin Husin, yang dipilih melalui kongres luar biasa di Solo, Jawa Tengah pada 9 Julai 2011.

Pada kongres luar biasa yang dihadiri 81 pemilih pada Ahad, Mattalitti menang dengan 76 undi manakala timbalan Ketua Umum PSSI Rahim Sukasah juga mendapat jumlah undi sama.

Sementara itu, anggota Suruhanjaya Eksekutif PSSI-KPSI Erwin Dwi Budiawan berkata di Samarinda, Kalimantan Timur langkah pertama pengurusan PSSI yang dibentuk KPSI tersebut ialah meminta pengesahan badan tertinggi bola sepak Asia serta dunia, iaitu AFC dan FIFA. - BERNAMA

Artikel Lain