suria

Pegawai Bank Warga Singapura Ditahan Di China Tanpa Dibenarkan Akses Kepada Peguam

BEIJING: Polis China telah menahan seorang pegawai bank wanita warga Singapura selama lebih dua minggu tanpa membenarkannya berjumpa dengan peguam dan tunangnya selepas salah seorang daripada pelanggan bank berkenaan melarikan diri ke luar negara dengan wang berjumlah berjuta dolar.

Tunang kepada pegawai bank berkenaan, Jason Tan memberitahu agensi berita AFP, dia enggan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa China jika dia ingin berjumpa dengan tunangnya itu.

Syarat tersebut ialah dia mestilah bersetuju untuk tidak memuat naikkan sebarang maklumat mengenai pertemuan tersebut di dalam internet atau bercakap dengan pihak media. Eden Wu, seorang pegawai bank wanita yang bekerja untuk Standard Chartered selama sembilan bulan di sini telah ditahan pada 6 Mac lalu selepas dia memaklumkan kepada pihak polis untuk kembali ke negara asalnya bagi melangsungkan perkahwinan.

Pada masa yang sama, polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas salah seorang pelanggan Wu yang telah melarikan diri dari China bersama keluarganya dan membawa keluar wang berjuta-juta dolar.

"Tunang saya telah disoal setiap hari, dia tidak dibenarkan membuat panggilan telefon atau mempunyai akses kepada peguam dan saya juga tidak dibenarkan berjumpa dengannya," kata Jason Tan.

Bagaimanapun beliau ada menyatakan bahawa wakil daripada konsulat Singapura dan keluarga Wu telah dibenarkan melawatnya Jumaat lalu.

Standard Chartered telah mengesahkan tentang penahanan Wu tetapi tidak dapat memberi penjelasan lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan polis.

Tan yang merupakan warga negara Amerika mendakwa mendakwa tunangnya itu telah ditahan sebaik sahaja dia memaklumkan hasratnya untuk kembali semula ke Singapura bagi melangsungkan perkahwinannya.

Artikel Berikut

Artikel Lain