suria

Gaji Penjawat Awam Di Gorontalo Mula Dibayar Ke Akaun Bank Isteri

JAKARTA: Sebagai menepati janji, mulai 1 Mac lalu gaji Gabenor Gorontalo Rusli Habibie dan semua penjawat awam di bawah pentadbiran Pejabat Gabenor Gorontalo, di Sulawesi yang sudah berkahwin, dibayar ke akaun bank isteri masing-masing.

Langkah ini menarik perhatian ramai kerana alasan gabenor membuat keputusan itu ialah supaya gaji mereka benar-benar dapat dimanfaatkan keluarga.

Sementara belum kedengaran rungutan di pihak penjawat awam terbabit, ada pemerhati sosial mengkritik tindakan itu dengan mendakwa ia bersifat diskriminatif terhadap gender selain menunjukkan sikap tidak percaya kerajaan negeri terhadap institusi keluarga.

Pegawai Perhubungan Awam Kerajaan Gorontalo, Muchlis Huntua berkata pembayaran gaji para penjawat awam ke akaun bank isteri mereka merupakan pelaksanaan dasar Gabenor Rusli Habibie.

Muchlis berkata sehingga kini belum ada daripada sejumlah 3,206 penjawat awam yang bertugas di bawah Pejabat Gabenor Gorontalo mengeluh mengenai keputusan itu.

"Sebelum menjadi gabenor atau ketika beliau menjadi usahawan, Rusli Habibie sudah menerapkan dasar serupa kepada isterinya. Jadi Bapak Gabenor sudah membuktikan komitmennya," kata Muchlis ketika dihubungi Bernama dari sini.

Gabenor Gorontalo turut mahu semua pegawai daerah dan datuk bandar menerapkan dasar itu, yang ketika ini mengecualikan penjawat awam di peringkat kerajaan tempatan di daerah dan perbandaran di Gorontalo.

Provinsi Gorontalo terletak di bagian utara Sulawesi dan mempunyai lima buah daerah serta sebuah kawasan perbandaran.

Menurut Muchlis, gabenor membuat dasar itu dengan tujuan gaji bulanan para suami yang bekerja sebagai penjawat awam benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan keluarga mereka.

Gabenor Gorontalo itu turut meminta Ketua Pasukan Penggerak Pendidikan Kesejahteraan Keluarga Provinsi Gorontalo supaya memberi bimbingan kepada para isteri penjawat awam tentang bagaimana mereka harus menguruskan kewangan rumahtangga dan menyokong suami dalam menjalankan tugasnya.

Pemerhati sosial daripada Universitas Negeri Gorontalo (UNG) Funco Tanipu dalam komennya sebelum ini berkata dasar itu ternyata sesuatu yang lucu dan perlu dilihat secara kritikal.

"Negeri terlalu mencampuri urusan peribadi. Dasar ini menunjukkan ketidakpercayaan kerajaan kepada insitusi bernama keluarga, yang mempunyai autoritinya tersendiri," katanya.

Funco Tanipu juga berpendapat dasar itu bersifat diskriminatif terhadap gender kerana ia terlalu mengukuhkan kedudukan perempuan sebagai objek domestik, seolah-olah perempuan hanya ditempatkan pada urusan dapur semata-mata.

"Persoalan siapa yang menjadi pengurus kewangan dalam sebuah keluarga, biarlah urusan keluarga itu sendiri, yang masing-masing memiliki cara dan struktur sosial tersendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain