suria

Timor Leste Tentukan Presiden Baru Sabtu Ini

DILI: Selepas lebih sedekad memperolehi kemerdekaan dari Indonesia, Timor Leste atau suatu ketika dahulu dikenali sebagai Timor Timur Sabtu ini akan mengadakan pilihan raya presiden yang kedua dalam sejarah negara itu.

Antara isu yang menjadi perhatian dalam pilihan raya tersebut ialah bagaimanakah Timor Leste mampu mempelbagaikan sumber pendapatannya selain terlalu bergantung kepada sumber minyak dan gas yang selama ini menyumbang 90 peratus daripada pendapatan kasar negara.

Malah Timor Leste telah dilabelkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa atau IMF sebagai satu-satunya negara dalam dunia ini yang terlalu bergantung hidup kepada pendapatan minyak dan gas.

Sumber tenaga tersebut menyumbang AS$9.3 bilion setahun kepada pendapatan negara pulau itu.

Menjelang Mei tahun ini, 1.1 juta warga Timor Leste akan merayakan ulang tahun ke-10 kemerdekaan.

Secara perlembagaannya, jawatan presiden hanyalah satu jawatan istiadat dan kebesaran sahaja.

Tetapi pengaruh pemegang jawatan ini telah mendapat perhatian dunia apabila ia disandang oleh pemenang Anugerah Nobel (untuk keamanan) Jose Ramos-Horta, 63, yang juga seorang pejuang kemerdekaan Timor Leste.

Ramos-Horta, yang terselamat daripada percubaan bunuh pada 2008 bagaimanapun bukanlah presiden Timor Leste yang pertama.

Penyandang pertama jawatan ini ialah seorang lagi pejuang kemerdekaan yang pernah bertahun-tahun merengkok di dalam penjara Indonesia iaitu, Xanana Gusmao.

Kini Xanana adalah perdana menteri. Dan sebagai perdana menteri, dialah pemerintah sebenar Timor Leste.

Pilihan raya parlimen Timor Leste yang bakal menentukan parti manakah yang akan menerajui kerajaan akan berlangsung Jun ini. Bagaimanapun kini seluruh perhatian akan tertumpu kepada pemilihan presiden yang akan ditandingi oleh 12 orang calon.

Walaupun terdapat 12 calon yang bertanding, tetapi hanya tiga calon sahaja yang dilihat akan bersaing sengit iaitu Ramos-Horta (penyandang jawatan dan calon tanpa parti), Calon Parti Fretilin, Francisco "Lu Olo" Guterres dan bekas panglima angkatan tentera, Jeneral Taur Matan Ruak.

Kedua-dua Ruak dan Guterres, adalah bekas gerila yang akan bergantung kepada populariti perjuangan mereka menuntut kemerdekaan untuk menarik perhatian pengundi.

Dalam pilihan raya presiden pada tahun 2007, Ramos-Horta memperolehi kemenangan kerana beliau mendapat sokongan padu daripada parti yang dipimpin oleh Xanana.

Malangnya, kali ini, parti itu telah mengumumkan bahawa mereka akan menyokong Ruak sebagai presiden.

Ini telah memberi tamparan hebat kepada Ramos-Horta tetapi pada masa yang sama memang dijangkakan kerana presiden itu sejak akhir-akhir ini kuat mengkritik kerajaan yang dipimpin oleh Xanana.

Artikel Lain