suria

Lima Pasangan Calon Gabenor Acheh Akan Ikrar Pilihan Raya Damai

JAKARTA: Lima pasangan calon gabenor/ timbalan gabenor Aceh yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri pada 9 April ini, akan menjalani acara ikrar pilihan raya damai di halaman Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, pada Rabu Calon-calon itu ialah Irwandi Yusuf/Muhyan Yunan, Muhammad Nazar/Nova Iriansyah, Tgk Ahmad Tajuddin/T Suryansah, Zaini Abdullah/Muzakir Manaf dan Darni M Daud/Ahmad Fauzi.

Ikrar damai itu antara lainnya akan disaksikan Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi, Menteri Penertiban Aparatur Negara Azwar Abubakar, Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Hafiz Anshary dan Ketua Pasukan Pemantau Undang-undang Pemerintahan Aceh Prio Budi Santoso.

Selain itu, 17 pasangan calon pegawai daerah/penolong pegawai daerah serta datuk bandar/penolong datuk bandar juga diundang untuk menyaksikan deklarasi pilihan raya damai di halaman masjid kebanggaan masyarakat Aceh, sebuah provinsi dikenali sebagai Serambi Mekah itu.

Salah satu syarat untuk semua calon pilihan raya negeri di provinsi yang terletak di hujung barat Indonesia itu ialah mereka wajib lulus ujian membaca Al-Quran berdasarkan Undang-undang Kerajaan Negeri Aceh.

Ketua Kumpulan Kerja Pemantau Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya Aceh Yarwin Adi Dharma berkata sejumlah 3.24 juta daripada kira-kira 4.6 juta penduduk di provinsi itu mempunyai hak sebagai pemilih dalam pilihan raya negeri kali ini. Daripada pemilih berdaftar itu, 1.60 juta merupakan pemilih lelaki manakala 1.64 juta adalah pemilih wanita. -BERNAMA

Artikel Lain