suria

Insiden Terbaru Askar Amerika Bunuh 16 Orang Awam Cetuskan Kemarahan Rakyat Afghan

ALKOZAI (Afghanistan): Insiden yang menyaksikan 16 orang warga Afghanistan termasuk kanak-kanak dan kaum wanita mati dibunuh oleh seorang askar Amerika yang naik angin pada awal pagi Ahad telah mencetuskan kemarahan baru termasuk daripada Presiden Hamid Karzai.

Hamid mengutuk pembunuhan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat dimaafkan.

"Ini adalah satu jenayah dan tindakan yang tidak dapat dimaafkan oleh sesiapa pun apatah lagi rakyat Afghan," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Presiden Barack Obama juga telah mengambil tindakan segera dengan menelefon Hamid Karzai dan meminta maaf bagi pihak seluruh rakyat Amerika di atas insiden tersebut.

Beliau berjanji, siasatan menyeluruh akan dijalankan.

Pihak berkuasa Nato mengumumkan bahawa mereka telah pun menahan askar yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.

Dalam kejadian itu, seorang askar Amerika telah memasuki kediaman orang awam di selatan Kandahar dan membunuh 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak dan tiga wanita tanpa sebab.

Seorang remaja berusia 16 tahun telah dilaporkan memberitahu Presiden Hamid Karzai melalui telefon bagaimana seorang askar Amerika telah memasuki kediaman mereka pada awal pagi mengejut mereka semua dari tidur dan kemudian melepaskan tembakan.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta juga telah menelefon Hamid Karzai dan memberi jaminan pihak berkuasa Amerika akan menyiasat insiden ini sedalam-dalamnya.

Pada masa yang sama, Kedutaan Amerika di Kabul telah mengeluarkan amaran kepada seluruh warganya yang bekerja di Afghanistan agar mengambil langkah berhati-hati kerana khuatir ada pihak yang akan membalas dendam ekoran kejadian itu.

Dalam pada itu, menurut sumber, askar Amerika yang melakukan serangan itu telah didapati meninggalkan pangkalannya seorang diri lengkap bersenjata dan memakai alat penglihatan waktu malam.

Dia kemudiannya ditangkap di luar pangkalannya oleh pasukan tentera Afghan selepas kejadian itu.

Kejadian itu adalah insiden kedua yang mencetuskan kemarahan rakyat Afghanistan selepas kejadian askar Amerika membakar Al -Quran.

Amerika telah pun mengumumkan pengunduran tentera mereka sepenuhnya menjelang tahun 2014.

Artikel Lain