suria

Penyerang Asyraf Dipenjara Tujuh Tahun

LONDON: Mahkamah Britain pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun terhadap seorang lelaki yang menyerang penuntut Malaysia, Asyraf Haziq Rosli ketika rusuhan di Londom, tahun lalu.

Beau Isagba, 18, mengaku bersalah atas kesalahan merompak dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius sebelum mencuri basikal Asyraf di timur London pada 8 Ogos tahun lalu.

Insiden tersebut juga mendapat perhatian umum, selepas rakaman mengenai kejadian itu dimuat naik ke dalam laman YouTube.

Hakim Witold Pawlak memberitahu sebuah mahkamah di utara London bahawa Isagba akan menjalani hukuman di penjara pesalah muda.

Dia dijangka dibebaskan dengan mendapat kebenaran selepas 42 bulan.

"Hukuman tersebut diharap akan menjadi teladan kepada orang di luar sana supaya berfikiran waras sebelum bertindak keterlaluan," katanya.

Pada minggu lalu, dua lelaki, John Kafunda dan Reece Donovan masing-masing berusia 22 tahun didapati bersalah kerana merompak Asyraf.

Hukuman terhadap mereka akan dibacakan pada Selasa ini.

Artikel Lain