suria

Pemukiman Tahunan Pemimpin Indonesia - Singapura Di Bogor Dipersiapkan

JAKARTA: Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa mengadakan lawatan kerja sehari ke Singapura pada Rabu di mana beliau berbincang dengan rakan sejawatannya dari Singapura K. Shanmugam untuk persiapan acara pemukiman tahunan pemimpin antara Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Pemukiman tahunan itu dijadualkan pada 13 Mac ini di Bogor, Jawa Barat.

Dalam pertemuan, Rabu kedua-dua menteri luar itu membahaskan pelbagai perkara berkaitan usaha peningkatan kerjasama bilateral, serantau dan multilateral yang menjadi perhatian bersama kedua-dua negara.

"Kami bahas secara terperinci kemajuan pelbagai komitmen dan kesepakatan yang telah dihasilkan Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Singapura dalam pemukiman tahunan pemimpin pada bulan Mei tahun 2010 yang lalu dan agenda pemukiman di Bogor yang akan datang," kata Marty sebagaimana dipetik Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam kenyataan, Rabu.

Menteri Luar Indonesia itu berkata ekonomi Indonesia dan ekonomi Singapura adalah bersifat saling melengkapi.

Perdagangan kedua negara menunjukkan trend positif dalam lima tahun terakhir.

Pada tahun 2011, jumlah perdagangan naik hingga 33 peratus berbanding tahun 2010. Nilai perdagangan mencapai lebih dari US$41 bilion manakala nilai pelaburan Singapura di Indonesia tahun 2011 mencapai US$5.1 bilion.

"Ekonomi kedua-dua negara saling menguatkan, perkara ini tercermin di mana Singapura merupakan pelabur terbesar bagi Indonesia dan, sama ada Singapura maupun Indonesia merupakan rakan dagang kelima terbesar di negara masing-masing," kata Marty.

Selain itu, kedua-dua menteri luar itu mengkaji kemajuan yang dicapai selama ini khususnya perkembangan kerjasama di enam sektor yang telah diputuskan dalam pertemuan ketua kerajaan sebelum ini iaitu pengembangan wilayah ekonomi khusus (Batam, Bintan dan Karimun); pelaburan; agro-perniagaan; perhubungan udara; pelancongan dan tenaga kerja.

Mengenai perundingan sempadan kedua-dua negara, mereka mencatat adanya kemajuan dalam perundingan itu di segmen Timur Selat Singapura.

"Kami sepakat untuk mengintensifkan perundingan sempadan kedua-dua negara pada segmen Timur Selat Singapura setelah segmen barat telah diselesaikan dan diratifikasi kedua-dua negara pada tahun 2010," kata Marty.

Menyentuh isu global, kedua-dua menteri luar itu membahaskan pelbagai perkembangan khususnya keadaan ekonomi dunia berikutan melonjaknya harga minyak dunia dan keadaan keamanan di Timur Tengah, yang tidak menunjukkan perubahan.

Marty turut melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Lee dalam lawatannya itu. - BERNAMA

Artikel Lain