suria

Kalendar Pilihan Raya Presiden AS

WASHINGTON: Pemilihan untuk menentukan siapakah yang bakal mewakili Parti Republikan untuk menentang Barack Obama bagi merebut kerusi presiden Amerika Syarikat belum lagi selesai.

Ini kerana selepas 10 buah negeri selesai mengundi semalam dan hari ini (Rabu), tidak ada siapa yang muncul sebagai pemenang yang jelas sebagai calon Republikan.

Bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney yang juga seorang usahawan berjaya, bagaimanapun kekal di barisan hadapan berbanding pencabar-pencabarnya yang lain.

Bersaing rapat dengan Romney ialah bekas Senator Pennsylvania, Rick Santorum, diikuti bekas Speaker Dewan, Newt Gingrich dan kemudian ahli Kongres dari Texas, Ron Paul.

Melainkan, ketiga-tiga pesaing ini mengumumkan penarikan diri lebih awal, nampaknya persaingan siapakah yang layak mewakili Republik akan berlanjutan sehingga ke bulan Ogos iaitu tarikh parti berkenaan mengadakan konvensyen tahunan mereka.

Parti Demokrat tidak perlu mengadakan pemilihan calon kerana Obama siang-siang lagi mengumumkan hasrat untuk mempertahankan jawatan presiden.

Tempoh perkhidmatan presiden AS adalah untuk selama empat tahun. Dan presiden tidak dibenarkan berkhidmat melebihi dua penggal atau lapan tahun.

Berikut adalah jadual kempen pemilihan presiden AS:

10 Mac - 26 Jun: Pemilihan baki negeri-negeri yang masih belum memilih calon Parti Republikan.

27-30 Ogos: Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan untuk mengumumkan calon mereka.

4-6 Sept: Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat untuk mengesahkan pencalonan Presiden Barack Obama sebagai calon parti berkenaan.

3 Oktober: Debat calon presiden pusingan pertama.

11 Oktober: Debat calon naib presiden.

16 Oktober: Debat calon presiden pusingan kedua.

22 Oktober: Debat calon presiden pusingan terakhir.

6 November: Pilihan raya presiden dan pilihan raya kongres.

20 Jan 2013: Majlis mengangkat sumpah jawatan presiden.

Artikel Lain